Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Apa kena-mengena tangkapan Justo?
Diterbitkan:  Jun 29, 2015 3:39 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menangkis seruan agar pihak yang mengkritik 1MDB dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon maaf.

Ini kerana, penangkapan bekas pengarah PetroSaudi International tidak menjawab persoalan utama dalam isu melibatkan usaha sama di antara 1MDB dan PetroSaudi.

Dalam tulisan di blog chedet.cc, Mahathir merujuk kepada dana AS$1.9 bilion yang dipinjamkan 1MDB kepada PetroSaudi.

Mahathir berkata, Najib memberitahu Parlimen bahawa 1MDB meminjamkan AS$1.9 bilion kepada anak syarikat PetroSaudi untuk mengurangkan risiko pegangan sahamnya.

Sepatutnya, pinjaman itu dikembalikan selepas usaha sama 1MDB dan PetroSaudi terbatal, kata Mahathir.

"Memberi pinjaman kepada rakan kongsi JV (usaha sama) yang tidak sesuai, (langkah itu) hanya akan meningkatkan risiko, bukan mengurangkannya.

"Apabila JV itu dibatalkan selepas hanya enam bulan dibentuk, tentulah kerana 1MDB menyedari bahawa usaha itu menyusahkan.

"Apa yang ia patut buat ialah menuntut agar ekuiti dan pinjaman berjumlah AS$1.9 bilion itu dikembalikan.

“Sebaliknya ia diubah kepada satu pinjaman (murabahah). Selepas diberi pinjaman AS$1.9 bilion, di mana wang ini sekarang?,” soalnya.

Kawalan 1MDB

Kerajaan setakat ini hanya membayangkan bahawa wang tersebut dilaburkan di Cayman Islands sebelum dipindahkan ke BSI Singapore.

Kerajaan juga menjelaskan bahawa dana yang disimpan itu dalam bentuk “unit”, tanpa menjelaskan maksudnya.

Penahanan bekas pengarah PetroSaudi itu oleh pihak berkuasa Thailand memberi peluang kepada kerajaan Malaysia untuk mendakwa bahawa kritikan ke atas 1MDB berpunca daripada dokumen yang telah dipinda.

Justo juga didakwa bertindak demikian dengan tidak amanah.

Butiran mengenai dokumen yang didakwa telah dipinda itu bagaimanapun tidak didedahkan. Polis Thailand juga tidak menyebut mengenai dokumen yang dipinda, dan hanya menyiasat Justo kerana dakwaan mengugut PetroSaudi.

Mahathir seterusnya berkata, soal itu bagaimanapun tiada kena mengena dengan kawalan 1MDB ke atas pinjaman yang diberikan kepada PetroSaudi.

"Selepas itu, pelaburan dan pinjaman USD700 juta ditukar menjasi pinjaman kepada seorang rangkan kongsi yang (1MDB) tidak lagi diyakini dapat memberi hasil melalui usahasama.

"Anda (hanya) ada sedikit kawalan secara langsung ke atas sesuatu JV, tetapi (tiada kawalan) ke atas peminjam.

"Jadi apa kena mengenai dengan Justo mengugut PetroSaudi: Tiada apa-apa,” katanya.

Rentetan peristiwa

Usahasama bersama PetroSaudi itu merupakan urusniaga pertama yang dijalankan 1MDB sejak 2009, selepas kerajaan persekutuan mengambil alih syarikat itu daripada kerajaan Terengganu.

Pada Ogos 2009, kerajaan menjamin bon yang dikeluarkan untuk menghasilkan dana RM5 bilion. Sebanyak RM3.5 bilion daripadanya digunakan untuk membuat usaha sama dengan PetroSaudi pada September.

Usaha sama itu dibatalkan enam bulan kemudian dan pegangan 1MDB ditukar kepada nota murabahah, yang dinilaikan lebih tinggi daripada pelaburan asalnya.

Emel PetroSaudi yang dibocorkan menunjukkan sebanyak AS$700 juta dipindahkan ke sebuah syarikat dinamakan Good Star Ltd, yang berpengkalan di Hong Kong.

Good Star Ltd dikawal oleh jutawan Jho Low, yang rapat dengan anggota keluarga Najib.

Sebanyak AS$700 juta dipindahkan pada 30 September, 2009, sehari selepas perjanjian usahasama itu ditandatangani.

Lihat Komen
ADS