Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cerai 'fast track' di Selangor perlu 6 jam saja

Pasangan Islam di Selangor yang bersetuju untuk berpisah dijangka dapat menyelesaikan kes mereka dalam tempoh kira-kira enam jam dengan pengenalan proses mempercepatkan kes cerai oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS).

Ketua Hakim Syarie Selangor, Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata sebelum ini, kes perceraian bagi pasangan yang bersetuju berpisah mengambil masa kira-kira tiga bulan atau 90 hari untuk diselesaikan bermula daripada kes didaftarkan sehingga kepada perintah bertulis dikeluarkan mahkamah.

"Proses kes cerai 'fast track' mampu mengurangkan tempoh ini kepada enam jam sahaja. Namun ini hanya ditawarkan kepada kes perceraian yang difailkan mengikut Seksyen 47 Enakmen undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) sahaja atau dengan kata lain kepada pasangan (suami isteri) yang bersetuju untuk berpisah.

"Proses ini selain menjimatkan kos, dapat juga memberi peluang kepada pasangan yang bercerai untuk menjalani kehidupan baharu dengan lebih cepat," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Proses Kerja "Kes Cerai Fast Track" di sini Jumaat.

Pelancaran disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Turut hadir Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Tan Sri Dr Ibrahim Lembut.

Sementara itu, dalam ucapannya Dr Ahmad Yunus berkata, kes perceraian di Selangor pada 2014 adalah sebanyak 22,230 kes berbanding 19,932 pada tahun sebelumnya.

Beliau turut memuji usaha JAKESS dalam memperkenalkan proses itu yang menurutnya selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengharapkan kes di Mahkamah Syariah terutamanya kes pembubaran perkahwinan diselesaikan segera.

- Bernama

Lihat Komen
ADS