Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tokoh penting yang bertanggungjawab membawa Umno masuk ke Sabah dan pernah digelar "kereta kebal" oleh Datuk Seri Najib Razak akhirnya kini diketepikan, gara-gara mainan politik sesetengah pemimpin negeri itu.

Dilucutkan jawatan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal bagaimanapun dilaporkan tetap tabah serta reda.

Namun di sebalik ketenangan itu beliau dan pegawainya tetap bimbang kerana tempoh pilihan raya umum akan tiba tidak terlalu lama lagi.

Seorang pegawai kanan Shafie di Kuala Lumpur hari ini memberitahu Malaysiakini , Naib Presiden Umno itu adalah antara orang yang banyak mempertahankan kerajaan dan Najib daripada serangan pihak lain selama ini.

Namun ketika mesyuarat tertutup Majlis Tertinggi Umno Shafie terpaksa bertanyakan beberapa isu sensitif yang didapati merunsingkan rakyat.

"Antara isu utama dibincangkan rakyat ialah 1MDB, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan serta Felda," katanya yang enggan didedahkan identitinya.

Tak nampak penyelesaian

Sumber memberitahu, Shafie digelar "kereta kebal" kerana keberaniannya mempertahankan parti daripada serangan musuh.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan Datin Seri Rosmah Mansor turut disentuh Shafie, pegawai terbabit enggan mengulas lanjut.

Katanya, kebimbangan Shafie sebenarnya berasas kerana maklumat diperoleh daripada kakitangannya yang bertemu orang ramai di peringkat bawahan.

"Dalam isu 1MDB misalnya, beliau bukan mempersoalkan atau menuduh sesiapa, tetapi keterangan yang dibuat pihak berkenaan tidak memuaskan dan tidak nampak jalan penyelesaian," katanya.

Shafie juga, kata pegawai itu, menggunakan saluran yang sepatutnya ketika menyampaikan rasa tidak puas hati rakyat kepada dasar kerajaan.

"Rakyat selalu mengeluh tentang jalan raya sesak dan sebagainya, tetapi kerajaan buat kenyataan yang menyebabkan rakyat tidak suka," katanya.

Mengenai penggugurannya daripada jawatan kabinet, pegawai itu berkata Shafie akan kekal setia kepada Umno.

"Beliau positif dengan keadaan yang berlaku dan tetap meletakkan kesetiaan kepada parti," katanya.

Mengenai kesan pengguguran beberapa menteri dari Sabah dan Johor, pegawai terbabit berkata, mereka menjangkakan akan ada berlaku perpecahan.

Lihat Komen
ADS