Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Siapa sanggup derma RM2.6b tanpa balasan?'
Diterbitkan:  Aug 4, 2015 5:28 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Bekas MP, Datuk Husam Musa berkata sumbangan RM2.6 bilion melalui akaun Datuk Seri Najib Razak sememanganya satu bentuk rasuah jika melibatkan tugas rasmi perdana menteri.

Ia tetap menjadi kesalahan walau sumbangan berkenaan dibuat tanpa sebarang balasan, kata ADUN Salor itu yang memetik peruntukan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

“Ini adalah kerana menjadi kesalahan bagi perdana menteri menerima wang secara peribadi tanpa sebarang balasan jika penderma mempunyai hubungan atau kepentingan dengan tugas rasmi perdana menteri menurut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

“Siapakah yang sanggup menderma jumlah sebanyak itu jika tidak berharap sebarang balasan?,” soal Husam dalam kenyataannya.

Katanya, penjelasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa wang itu merupakan derma dan bukan rasuah juga menimbulkan banyak persoalan.

Lebih-lebih lagi, keputusan itu dibuat tanpa memanggil Najib memberi keterangan, kata bekas naib presiden PAS itu lagi.

“Jika benar wang tersebut adalah wang penderma, bagaimana SPRM boleh mencapai hasil tersebut  dalam keadaan perdana menteri belum dipanggil memberikan keterangan?

“Kenapakah dakwaan awal berkenaan wang tersebut disalurkan dari akaun 1MDB boleh pula bertukar kepada wang penderma hanya selepas 48 jam pejabat SPRM diserbu cawangan khas?,” soalnya.

Setakat ini belum dapat disahkan sekiranya pihak yang membuat sumbangan tersebut terlibat dalam sebarang urusan rasmi Najib.

Sementara itu, setiausaha agung PKR, Rafizi Ramli pula berpendapat, derma tersebut sememangnya satu bentuk rasuah seperti yang ditakrifkan dalam Akta SPRM 2009.

Beliau memberi alasan, pihak yang sanggup memberi sumbangan sebanyak itu pastinya mengharapkan balasan.

Tidak masuk akal jika penderma berkenaan menghulurkan sumbangan untuk kempen pilihan raya BN tanpa mengharapkan balasan, katanya.

“Oleh itu, derma yang disebut-sebut oleh pimpinan Umno sekarang ini boleh digolongkan sebagai suapan mengikut Seksyen 3 Akta SPRM.

“Seksyen 3 Akta SPRM menetapkan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah penjawat awam yang tidak dibenarkan menerima suapan dalam apa jua bentuk sekali pun.

“Takrifan suapan di bawah akta ini termasuklah hadiah dan derma apabila hadiah dan derma itu diberikan untuk mendapat balasan,” katanya.

Lihat Komen
ADS