Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM 'tak boleh dedah' siapa derma RM2.6b
Diterbitkan:  Aug 5, 2015 7:22 PM
Dikemaskini: 11:58 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menegaskan bahawa badan itu tidak boleh mendedahkan identiti pihak yang menyalurkan wang RM2.6 bilion ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Satu kenyataan SPRM yang tidak ditandatangani menyebut, badan itu juga telah mendapatkan penjelasan daripada individu “Timur Tengah” menyalurkan derma tersebut.

“Hasil siasatan SPRM mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah derma yang disumbangkan oleh pihak tertentu.

“SPRM tidak boleh mendedahkan identiti pihak yang mendermakan dana RM2.6 bilion kepada perdana menteri.

“SPRM telah mendapatkan penjelasan daripada pihak penderma yang berasal dari Timur Tengah dan pihak berkaitan juga telah mengesahkan sumbangan derma tersebut,” kenyataan itu dipetik.

Badan itu juga sekali lagi menegaskan bahawa sumbangan derma tersebut RM2.6 billion tiada kena mengena dengan 1MDB sama sekali.

Ia turut menjelaskan bahawa SPRM hanya menumpukan siasatan pada siasatan ke atas SRC International dan kemasukan dana ke akaun Najib.

Kedua-dua siasatan berkenaan masih diteruskan, kata SPRM.

“SPRM mendapati banyak pihak masih tidak jelas atau terkeliru dengan menganggap bahawa SPRM telah menghentikan siasatan berkaitan dengan isu SRC International ataupun mengenai dana RM2.6 bilion."

"Siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan

dana RM4 bilion masih dijalankan oleh SPRM. Siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dan isu SRC International merupakan dua perkara yang berbeza.

"Oleh itu, SPRM mahu menekankan bahawa SPRM tidak pernah menyatakan kes yang disiasat ini telah ditutup."

Lihat Komen
ADS