Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno sedang meneliti setiap ucapan perwakilan parti itu dalam mesyuarat masing-masing di peringkat bahagian dan akan mengenakan tindakan tatatertib jika menyimpang daripada etika ditetapkan.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini ketika diminta mengulas kritikan keras seorang anggota wanita Umno Langkawi pada presiden parti.

"Sekarang kita sedang meneliti setiap ucapan itu di setiap bahagian.

“Dan kita melihat kalau dia menyimpang dari tata etika parti, kita akan mengambil tindakan," kata Tengku Adnan ketika ditanya perkara itu.

Dalam mesyuarat Wanita Umno Langkawi Sabtu lalu, keadaan menjadi gamat apabila Anina berkata tiga juga anggota Umno kini menjadi mangsa “ kencing ” Datuk Seri Najib Razak.

Rakaman video memaparkan ucapan berani dan berapi-rapi Anina itu turut tersebar luas di alam maya.

Sementara itu, Tengku Adnan juga berkata pihaknya yakin parti itu akan dapat mengadakan mesyuarat agungnya menjelang akhir tahun ini.

"Saya fikir perhimpunan agung Umno akan diadakan akhir tahun ini," kata Tengku Adnan ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri peringkat Wilayah Persekutuan di Putrajaya sebentar tadi.

Tengku Adnan berkata, pihaknya kini hanya menunggu setiap bahagian parti itu selesai mesyuarat perwakilan.

"Kita tengah tunggu bahagian-bahagian selesai mesyuarat perwakilan," jelasnya.

Katanya lagi parti itu juga akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara tersebut pada akhir bulan ini.

Lihat Komen
ADS