Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM dinasihat singkir 'punahsihat'
Diterbitkan:  Aug 24, 2015 12:24 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dinasihatkan menyingkirkan penasihatnya yang dianggap "punahsihat" kerana pandai ambil kesempatan dan mementingkan diri sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata terdapat beberapa penasihat Najib seperti yang dimaksudkan, lapor Sinar Harian hari ini.

"Punahsihat perdana menteri ini kena buang. Sesetengah mereka ini dikenali pun. Masalahnya, kadang-kadang kita tak berani, kita takut nak tegur.

"Saya tahu dua tiga orang itu. Dia bukan kira Umno dan parti menang ke kalah (dalam pilihan raya)," kata Tajuddin seperti dilapor oleh akhbar itu.

Laporan itu menyebut, timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata punahsihat itu umpama watak dalam filem Lancang Kuning, yang ambil kesempatan untuk kepentingan diri.

“Kalau saya dipanggil perdana menteri, saya sendiri akan beritahu orangnya. Banyak pemimpin yang jatuh disebabkan orang rapat di sekeliling mereka," katanya yang juga MP Pasir Salak.

Dalam laporan itu juga, Tajuddin berharap penasihat yang dilantik perdana menteri berkhidmat dengan jujur dan membantunya beliau dengan memberi nasihat berguna bagi mengelakkan berlakunya perkara yang menyulitkan.

"Banyak perkara yang kadang-kadang tak dapat diterima oleh rakyat. Beliau kena berhati-hatilah. Maknanya, kalau tak boleh pakai janganlah pakai.

"Jangan guna nama perdana menteri sana sini untuk kepentingan peribadi. Saya berhak tegur sebab apa-apa berlaku, kita juga kena.

"Jika perdana menteri susah, kita pun susah kerana kita nak pertahankan beliau dan parti," katanya.

Lihat Komen
ADS