Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan mahasiswa hari ini mengadakan demonstrasi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Menamakan diri mereka “Langkah Siswa”, kumpulan itu berarak kira-kira 1.5km bermula dari Bank Negara hingga ke Dataran Parlimen.

Kumpulan pelajar itu antara lain menyuarakan rasa tidak puas hati berkaitan kontroversi syarikat pelaburan negara cetusan ilham Najib, 1MDB.

Mereka juga tidak dapat menerima jawapan Najib yang hanya bersedia membincangkan isu kontroversi RM2.6bilion secara tertutup dengan ahli Umno berbanding secara bersemuka kerana bimbang akan memberi kesan kepada parti.

Bermandi hujan, mereka bersorak pelbagai slogan anti-Najib dan berikrar terus tinggal di situ sehingga mendapat jawapan daripada Najib sendiri.

Kumpulan pelajar antaranya tidak puas hati sekitar kontroversi 1MDB, syarikat pelaburan negara cetusan ilham Najib.

Demonstrasi bermula pada jam 2.30 petang.

Poster dipamer antaranya gesaan “Selamatkan Negara” dan “Katakan tidak pada diktator, perasuah dan penindas”.

Sementara itu, pihak polis hanya membenarkan kumpulan mahasiswa itu berada di bahu jalan depan pintu utama bangunan Parlimen.

Menurut koordinator #LangkahSiswa Lau Yi Leong, sebagai wakil suara mahasiswa, mereka sudah muak dengan alasan yang diberikan kerajaan mengenai isu kontroversi derma RM2.6 bilion.

"Kami akan meneruskan desakan #LangkahSiswa ini sehingga ketiga-tiga tuntutan kami dicapai iaitu Najib harus segera meletak jawatan.

"Pihak berkuasa perlu mendedahkan hasil siasatan iaitu SPRM, PAC dan Peguam Negara serta mahasiswa mahu satu rundingan di antara mahasiswa dan ahli parlimen diadakan," katanya kepada pemberita di luar perkarangan Parlimen.

Menurutnya lagi, kumpulan itu juga menunut supaya pembentukan kerajaan transisi dibuat bagi menyelesaikan pentadbiran negara yang didakwa mengalami kepincangan.

Sehingga laporan ini disiarkan, kumpulan mahasiswa itu dilihat duduk di bahu jalan di hadapan bangunan parlimen sambil memegang sepanduk tanpa mengendahkan hujan dan desakan polis supaya beredar.

Lihat Komen
ADS