Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad: BERSIH sendiri undang Baju Merah
Diterbitkan:  Aug 26, 2015 12:14 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Perhimpunan kumpulan anti-BERSIH, dengan demonstrasi aksi seni bela diri semalam, mengundang reaksi negatif pelbagai pihak di Internet.

Ketika ramai mengkritik aksi kumpulan berbaju merah itu, seorang timbalan menteri tampil dengan nada berbeza.

Bagi orang nombor dua Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Ahmad Maslan, setiap aksi pastinya menuntut reaksi.

“Setiap aksi akan berlaku reaksi. Hasrat pelanggaran peraturan anda telah mengundang gerakan anti-Bersih,” tulis Ahmad yang juga anggota parlimen Pontian dalam blognya.

“Mereka kata jika anda batalkan protes jalanan, maka NGO-NGO yang berbaju merah itu juga akan membatalkan hasrat mereka.”

Semalam, kumpulan anti-BERSIH 4 sekali lagi berhimpun di ibu kota bagi menyatakan bantahan terhadap perhimpunan 34 jam bermula Sabtu ini.

Mereka mempamerkan pelbagai aksi lasak, termasuk memukul kepala dan badan dengan kayu sehingga patah selain memecahkan atap genting dengan kepala.

Menurut video yang dimuat naik di Internet, beberapa orang mempamerkan beberapa aksi balik kuang serta membuka bunga silat seperti dalam aksi berlawan.

Pada 20 Ogos lalu, sebuah perhimpunan anti-BERSIH telah diadakan di Kuala Lumpur yang menyaksikan gambar pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah disimbah cecair merah.

Kumpulan itu, yang menggelarkan diri sebagai “Gabungan NGO-NGO Malaysia”, juga mengugut berkumpul di depan rumah pengerusi BERSIH Mari Chin Abdullah dan mahu membawa 30,000 orang anti-BERSIH berhimpun sama pada hari itu.

Jika benar-benar menjadi kenyataan, pertembungan dua pihak berbeza pandangan mungkin tidak dapat dielakkan.

Lihat Komen
ADS