Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SKMM sekat web ajak turun BERSIH
Diterbitkan:  Aug 27, 2015 2:15 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memutuskan untuk menyekat laman web yang mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai menyertai perhimpunan BERSIH 4.

Dalam kenyataannya hari ini SKMM berkata perhimpunan tersebut boleh mengganggu-gugat kestabilan negara dengan memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Sehubungan itu, MCMC ingin memperingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat di laman-laman sesawang dan media sosial, terutamanya kandungan yang boleh menyalahi mana-mana undang-undang Malaysia," kenyataan SKMM dipetik.

Sementara itu Bernama melaporkan KDN menyatakan perhimpunan Bersih 4 didapati bergiat secara tidak sah dan mencetuskan kegelisahan serta membangkitkan kebimbangan orang ramai khususnya rakyat pelbagai kaum, agama dan keturunan di negara ini.

"Bersih 4 juga didapati menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat bagi tujuan negatif terhadap kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu yang boleh mendatangkan keburukan," kata SKMM.

SKMM berkata pelbagai kegiatan Bersih 4 juga memberi kesan buruk kepada imej negara.

"Bahkan, Bersih 4 boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi serta kedaulatan negara selain menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia," kata SKMM.

Sehubungan itu, SKMM mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam berkongsi maklumat di laman-laman sesawang dan media sosial terutama kandungan yang boleh menyalahi mana-mana undang-undang.

Suruhanjaya itu juga meminta orang ramai membuat aduan kepadanya jika mempunyai maklumat mengenai laman sesawang dan media sosial yang menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi.

Perhimpunan BERSIH 4 dijadualkan berlangsung pada 29 dan 30 Ogos ini di tiga kota besar, iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Kuala Lumpur menjadi lokasi terbesar himpunan itu dan BERSIH menjangkakan lebih 100,000 akan menyertai mereka.

Peserta akan berarak daripada lima tempat tumpuan pelancong di sekitar bandar raya Kuala Lumpur - Masjid Negara, Pasar Seni, Menara Maybank, Brickfields dan Sogo - sebelum menuju ke Dataran Merdeka dan bermalam di sana.

Lihat Komen
ADS