Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua ahli parlimen PAS yang menyertai parti baru - setakat ini dikenali sebagai Parti Amanah Nasional (AMANAH) - akan membayar kafarah dengan menjamu golongan fakir miskin di Shah Alam esok.

Mereka ialah Khalid Samad (Shah Alam) dan Dr Mariah Mahmud (Kota Raja).

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Khalid berkata, mereka mengambil tindakan itu kerana meyakini "Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui".

Adik kepada Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, mereka melanggar baiah yang dilafazkan ketika menjadi calon untuk PAS sebelum ini bukan atas sebab kepentingan peribadi.

"Justeru, kita berani buat," katanya.

Khalid berkata seramai 100 orang fakir miskin akan dihidangkan dengan nasi beriani kambing di Dewan Merbau Seksyen 17 Shah Alam, malam esok.

Isu baiah diperkatakan apabila sebelum ini PAS mewajibkan semua calon mewakili parti itu dalam pilihan raya mengucapkan ikrar untuk taat.

Ikrar itu dianggap dilanggar apabila mereka memilih untuk menyertai parti lain dan keahlian dalam PAS tergugur secara automatik.

Mengulas lanjut, Khalid juga menyatakan baiah yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli dan talak tiga yang dikenakan terhadap isterinya juga tidak sah.

Katanya, Hatta memberitahu bahawa beliau dipaksa untuk membaca baiah yang dibuat oleh PAS Kelantan itu, selain hanya mengikut arahan sahaja.

"Pendirian Hatta, baiah ini tidak sah. Dia tidak terkesan dalam soal itu, bahkan kita juga rasa amat pelik apabila mahkamah syariah telah menjatuhkan hukum sebelum mendengar hujah Dr Hatta," katanya.

Lihat Komen
ADS