Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairuddin dikenakan tahanan 28 hari penuh bawah Sosma

Bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan dikenakan tahanan 28 hari penuh yang dibenarkan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) hari ini, tetapi peguamnya akan berusaha untuk mencabar perintah tersebut.

Peguamnya, Mohammad Rafique Rashid Ali berkata perintah itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 4 petang hari ini, dan akan tamat pada masa yang sama pada 21 Oktober

Beliau berkata Khairuddin telah mengarahkan beliau untuk mencabar perintah itu melalui Mahkamah Tinggi dan beliau bercadang untuk berbuat demikian secepat yang mungkin.

Rafique berkata ia adalah arahan pelanggannya bahawa tidak adil untuk menggunakan Sosma terhadapnya atas sebab asas bahawa Sosma telah digubal untuk menangani perbuatan pengganas, sedangkan beliau tidak mempunyai niat untuk menjadi pengganas.

"Dia hanya melaksanakan hak perlembagaannya untuk membuat laporan polis," Rafique ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sosma adalah satu set prosedur khas untuk mengendalikan pelbagai kesalahan keselamatan yang ditetapkan dalam bahagian Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 4 (5) Sosma, seorang pegawai polis yang berpangkat penguasa pangkat atau lebih tinggi boleh melanjutkan penahanan sehingga 28 hari untuk siasatan, selepas tempoh awal selama 24 jam dari masa tangkap.

Laporan dibuat di seluruh dunia

Khairuddin telah membuat laporan dengan pihak berkuasa di seluruh dunia terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan 1MDB, termasuk di Switzerland, Perancis, United Kingdom, Singapura dan Hong Kong.

Beliau sepatutnya mengadakan pertemuan dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat, tetapi telah dihalang daripada meninggalkan negara pada 18 September dan seterusnya ditangkap beberapa jam kemudiannya.

Beliau telah disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen, dan turut ditahan reman selama enam hari sehingga semalam.

Bagaimanapun, selepas dibebaskan semalam,, Khairuddin ditahan semula di bawah Sosma.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS