Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1MDB lapor polis, syaki kebocoran maklumat sulit
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 12:17 AM
Dikemaskini: 4:25 PM

1MDB hari ini membuat laporan polis mengenai tindakan satu atau lebih banyak pihak yang disyaki membocorkan dan menjual maklumat sulit mengenai syarikat itu.

Laporan polis itu menyusul selepas dakwaan pengakuan portal berita Sarawak Report bahawa ia mendapat dokumen sulit daripada Bank Negara dan dakwaan pengakuan terbuka daripada penerbitan antarabangsa Wall Steet Journal bahawa ia juga telah meneliti dokumen berkaitan 'siasatan kerajaan' ke atas 1MDB dan mempunyai akses kepada transkrip prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan draf laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB, lapor Bernama.

"Biarpun adanya pengakuan ini, tiada tindakan telah diambil sama ada terhadap pihak yang telah menerbitkan dokumen berkenaan, juga terhadap pihak yang membocorkannya yang menyalahi undang-undang," kata syarikat itu dalam satu kenyataan malam tadi.

Syarikat itu berkata buat kali kedua, Sarawak Report kendalian pihak asing yang sekarang ini disekat di sini kerana menerbitkan bahan dicuri dan dipalsukan, telah mengeluarkan satu artikel yang menunjukkan minit mesyuarat lembaga pengarah 1MDB yang kelihatan seperti tulen.

"Kami sangat bimbang, ini berikutan kenyataan Sarawak Report sebelum ini yang menyatakan ia telah memperoleh dokumen daripada siasatan Bank Negara," katanya .

1MDB percaya tindakan satu atau lebih banyak pihak membocorkan maklumat sulit dilakukan dengan niat jahat dan mungkin telah menyalahi undang-undang Malaysia antaranya Kanun Keseksaan, Akta Rahsia Rasmi 1972, Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

"Kami mempunyai keyakinan penuh dalam kemampuan menyiasat dan profesionalisme pihak berkuasa untuk mengambil semua tindakan yang diperlukan bagi menjunjung undang-undang di Malaysia," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS