Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang wanita 29 tahun mendakwa seorang doktor di sebuah klinik kerajaan di Selangor mencabul kehormatannya.

Hanya mahu dikenali sebagai “Miss T”, beliau mendakwa menjadi mangsa doktor lelaki itu pada 8 Oktober lalu ketika mahu mendapatkan rawatan untuk batuk dan sakit kepala.

Beliau mendakwa, ketika sesi rawatan doktor itu mahu memeriksa pernafasan tetapi meraba-raba buah dadanya ketika berbaju beberapa minit.

"Doktor arahkan saya baring untuk periksa dan dia tutup langsir. Saya hanya ikut arahan. Dia sentuh dada saya dan dengar denyutan nadi (pakai stetoskop). Dia sentuh dada saya perlahan-lahan selama tiga minit.

“Selepas itu dia minta saya duduk di katil, dia minta saya angkat pakaian dan buka bra tapi saya tak mahu dan doktor guna tangan dia masukkan ke dalam bra saya, sentuh kedua-dua belah dada saya,” katanya.

Beliau juga mendakwa doktor itu turut bertanya padanya tentang status perkahwinannya.

“Doktor tanya sama ada saya dah kahwin atau belum, ada anak atau tidak dan anak macam mana. Saya nak cepat-cepat pergi dari situ,” katanya.

Curiga dengan langkah itu, Miss T berkata beliau memberitahu seorang kakitangan klinik selain membuat laporan polis pada hari yang sama.

“Dan esoknya saya ke klinik itu dan beritahu ketua jururawat apa yang berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, kata wanita itu, sehingga ke hari ini dia masih belum dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Saya mahu pihak berkuasa siasat doktor terbabit.

“Saya tak mahu perkara yang sama berulang kepada wanita lain,” kata Miss T pada sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, Klang hari ini.

Kenyataan Miss T dalam bahasa Mandarin pada sidang media itu diterjemahkan oleh seorang jurubahasa.

Beliau hadir dengan memakai baju yang sama ketika hari kejadian tetapi menyembunyikan wajah dengan memakai topeng dan topi.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi klinik terbabit.

Polis: Kes sedang siasat

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Azman Abdul Razak ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan menerima laporan tersebut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut seksyen 345 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Namun Azman enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana masih dalam siasatan.

Lihat Komen
ADS