Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM: Kami tak nafi rajah aliran dana ke akaun PM
Diterbitkan:  Oct 22, 2015 3:00 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata mereka tidak menafikan keaslian rajah aliran dana ke akaun perdana menteri, seperti didakwa bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

“Perkara di atas adalah tidak benar kerana dalam kenyataan media bertarikh 3 Ogos 2015, SPRM tidak mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan isu draf kertas pertuduhan dan fund flows diagram seperti yang disebutkan oleh SRC International,” kata pengarah siasatannya Datuk Azam Baki.

Suruhanjaya itu seterusnya mengingatkan SRC International atau mana-mana pihak “jangan sama sekali mengaitkan nama SPRM dalam kenyataan media”.

Ini kerana, kata Azam, tindakan sedemikian boleh mengelirukan orang ramai.

Bernama semalam melaporkan SRC meminta Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan terhadap dakwaan kertas pertuduhan yang disiarkan Sarawak Report, blog yang kini diharamkan di Malaysia, serta rajah aliran dana yang diterbitkan sebuah media atas talian.

"Kami mahu mereka yang bertanggungjawab terhadap pemalsuan ini dikenal pasti, berikutan keasliannya telah dinafikan oleh SPRM pada 3 Ogos 2015,” menurut kenyataan SRC.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan sekali lagi bahawa kes SRC International masih berjalan dan mahu syarikat itu membantu melengkapkan siasatan.

SPRM juga meminta SRC mengarahkan dua individu Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Suboh Md Yassin tampil memberi keterangan jika masih berkhidmat dengan mereka.

Lihat Komen
ADS