Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isa Samad: Masa mesyuarat tak cakap tak sokong PM
Diterbitkan:  Oct 25, 2015 12:33 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Tindakan 13 cawangan Umno dalam bahagian Telok Kemang mendesak presiden Datuk Seri Najib Razak secara terbuka meletakkan jawatan dikatakan tidak hormat pada keputusan bersama.

Ketua Umno bahagian itu Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, kesemua mereka seharusnya menyatakan pendirian masing-masing pada Persidangan Perwakilan Umno bahagian ketika usul sokongan terhadap kepimpinan parti yang diadakan sebelum ini, lapor Sinar Harian .

“Sepatutnya jika tidak menyatakan sokongan kepada presiden parti, cakaplah tidak sokong semasa persidangan tempoh hari ketika membentangkan usul sokongan terhadap kepimpinan parti. Ini tidak.

"Tindakan mereka hari ini (semalam) seperti tidak menghormati keputusan yang dipersetujui bersama,” Isa dilaporkan sebagai berkata.

Semalam 13 cawangan Umno dalam bahagian Teluk Kemang, Negeri Sembilan menggesa supaya Najib meletakkan jawatan.

Ketua Cawangan Taman TKK, Kamarul Azman Habibur Rahman yang mengetuai kumpulan itu berkata, sebagai pemimpin akar umbi beliau tidak berniat untuk menghukum presiden parti berhubung isu yang melanda negara ketika ini.

Sebaliknya, pengunduran Najib perlu dilakukan bagi memastikan Umno tidak menjadi mangsa keadaan oleh pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Isa berkata ketika membentangkan usul sokongan terhadap kepimpinan parti dalam persidangan berkenaan, semua cawangan sebulat suara menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap Najib.

“Tidak ada pun yang tidak menyatakan sokongan. Kalau tidak mahu sokong, cakap masa dalam persidangan itu. Itu masa terbaik untuk berbincang. Tapi tiba-tiba pula hari ini (semalam), cakap mahu presiden parti meletakkan jawatan.

“Walaupun itu hak suara mereka, tetapi cara ini tidak betul. Orang-orang macam ini memang tidak boleh menjadi pemimpin kerana tidak mempunyai prinsip,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Isa bagaimanapun mengesahkan Umno Bahagian Telok Kemang tetap memberikan sokongan terhadap Najib selaku Presiden Umno.

Lihat Komen
ADS