Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebahagian besar ahli akar umbi Umno dikatakan bimbang dengan perkembangan semasa parti itu yang dilihat membenarkan masa depan mereka ditentukan hanya melalui aplikasi kumpulan sembang.

Memetik laporan mendakwa 80 peratus pemimpin Umno bahagian mahu tindakan terhadap 'pemimpin derhaka', seorang ketua bahagian berkata, sangat lucu apabila pertimbangan itu dibuat melalui kumpulan sembang Telegram.

"Lebih penting, ia adalah penghinaan kepada parti apabila masa depan bangsa dan negara ditentukan oleh sekumpulan orang dalam kumpulan sembang Telegram," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai bancian di kalangan 170 pemimpin bahagian dalam aplikasi sembang itu yang tidak menyebut sebarang nama secara khusus.

Ketua Umno Kapar, Datuk Faizal Abdullah mendakwa "sentimen menyeluruh mereka (ketua bahagian) adalah, cukuplah dengan apa yang dilakukan" oleh pengkritik perdana menteri.

Mengulas kenyataan itu, pemimpin bahagian yang enggan didedahkan identitinya itu berkata, agak aneh apabila kumpulan sembang Telegram itu tidak memasukkan semua ketua bahagian.

"Mengapa hanya 170 orang dan bukan semua pemimpin 191 bahagian Umno?

"Jika keahliannya berpilih-pilih mengikut kehendak pentadbir kumpulan itu, memang tidak anehlah sentimen mahu mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan lain-lain begitu tinggi," katanya.

'Seseorang' di pejabat PM

Secara sinis beliau juga mencadangkan supaya Umno menggubal perlembagaannya untuk membenarkan sebarang keputusan parti dibuat melalui perbincangan dalam kumpulan sembang Telegram atau WhatsApp.

Ditanya mengenai identiti pengendali kumpulan sembang itu, beliau enggan memberi maklumat secara khusus namun menyatakan ia “seseorang” di pejabat perdana menteri.

Sementara itu sumber lain memberitahu, kecenderungan sesetengah pemimpin Umno menggunakan kaedah kumpulan sembang menentukan masa depan parti sangat bahaya.

"Keadaan kini menunjukkan sebahagian pemimpin lebih risaukan kedudukan dan kuasa Datuk Seri Najib Razak berbanding kesinambungan perjuangan Umno.

"Mereka sepatutnya lebih bimbangkan jika belanjawan dibentang perdana menteri ditolak di parlimen berbanding sibuk mendesak parti mengambil tindakan terhadap pengkritik Najib.

"Parti lebih perlukan penerangan mengenai belanjawan serta peruntukan besar diberi kepada Jabatan Perdana Menteri berbanding leka mencaturkan masa depan pemimpin yang tidak sehaluan dengan presiden," katanya.

Bagaimanapun, pemimpin akar umbi yang dihubungi Malaysiakini itu bersetuju apa yang berlaku ketika ini adalah cubaan pihak tertentu menghalang pengkritik Najib hadir dalam Perhimpunan Agung Umno akan datang.

"Apa yang kami katakan ini adalah suara majoriti senyap peringkat akar Umno yang masih lagi cuba mempertahankan integriti parti.

"Tetapi jika begini keadaan parti yang diajar oleh sesetengah pimpinan atasan, jumlah tiga juta ahli Umno yang ada sekarang memang tidak menjamin BN akan kekal berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang," katanya.

Lihat Komen
ADS