Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Husam: Saya tak gentar biar nyawa jadi taruhan
Diterbitkan:  Nov 12, 2015 7:27 PM
Dikemaskini: 11:29 AM

Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa yakin ugutan bunuh yang diterima oleh isterinya pada Isnin lalu sebenarnya ditujukan kepada dirinya.

Husam berkata ugutan yang dibuat melalui panggilan telefon dan sistem pesanan mesej (SMS) daripada pihak tidak dikenali itu mungkin berkaitan dengan tegurannya terhadap kerajaan negeri.

Katanya, beliau sebelum ini telah membuat enam teguran kepada kerajaan negeri dan tiga daripadanya berkaitan isu pembalakan dan perladangan.

"Ugutan dari seorang lelaki yang tidak dikenali telah diterima melalui panggilan telefon dan SMS menerusi telefon isteri saya pada petang Isnin lalu, 9 November.

"Ugutan itu ditujukan kepada saya. Pada hari yang sama saya dan isteri buat laporan polis. Masing-masing di balai Jalan Tun Razak dan IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Kota Bharu.

"Berdasarkan kandungan pesanan SMS, saya berat mengagak teguran kepada kerajaan negeri adalah punca ugutan itu diterbitkan. Dari enam teguran utama saya, tiga adalah berkaitan pembalakan dan ladang khususnya kelulusan hutan simpan kekal untuk tujuan perladangan," katanya.

Walaupun menerima ugutan, ADUN Salor itu berkata beliau tidak akan berganjak dan akan terus memberi teguran walaupun nyawanya menjadi taruhan.

"Jika saya ditanya suspek utama, saya katakan perlukan siasatan pembalak yang ada kepentingan dengan kelulusan tebang habis.

"Sungguh pun saya merasa gentar akan keselamatan saya dan keluarga, insya Allah saya tidak akan berganjak dari tugas saya membuat teguran yang benar mengikut hemat dan pegangan perjuangan saya, hatta jika nyawa saya menjadi taruhan," kata Husam lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kerajaan negeri mempertimbangkan tegurannya mengenai isu yang dibangkitkan bagi mengelak pertikaian berlanjutan khususnya kelulusan kawasan hutan simpan yang baru.

"Saya berharap kerajaan negeri menimbangkan teguran saya dengan saksama bagi mengelakkan pertikaian yang berlanjutan, khusus bagi kelulusan kawasan hutan simpan yang baru, sekalipun atas alasan sambungan kepada kelulusan dasar yang lama.

"Saya juga berharap pihak keselamatan menjalankan siasatan dengan bersungguh-sungguh demi mengelakkan provokasi dan kejadian yang lebih buruk," katanya.

Semalam dilaporkan isteri Husam menerima ugutan bunuh.

Selain keluarga Husam, bekas rakan seperjuangannya dalam PAS Salahuddin Ayub turut mengalami " cabaran " apabila tayar kenderaan pacuan empat rodanya ditoreh semasa berada di Kelantan.

Lihat Komen
ADS