Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya nak lihat apa langkah dia lepas ini'
Diterbitkan:  Dec 12, 2015 6:49 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau mahu melihat apakah langkah yang akan diambil oleh Datuk Seri Najib Razak bagi menangani masalah yang dibangkitkannya.

“Selepas ini saya nak lihat apakah langkah-langkah yang akan dia buat untuk masalah-masalah yang saya bangkitkan.

“Ini bukan masalah saya, tapi masalah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas penggulungan presiden Umno dalam perhimpunan agungnya hari ini.

Muhyiddin sebelum ini lantang mengkritik dalam isu 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib, sehingga beliau digugurkan daripada kabinet.

Muhyiddin juga dinafikan peluang bercakap kepada perwakilan sepanjang perhimpunan agung Umno di ibu negara yang baru tamat sebentar tadi.

Muhyiddin yang dilihat tidak mahu berdamai dengan Najib sebaliknya menggesa agar perdana menteri itu membuktikan bahawa jiwanya benar-benar "besar".

"Agar tiada syak wasangka yang menyebabkan kita menghadapi masalah, mengembalikan ruang keyakinan rakyat kepada kerajaan," ujarnya lagi.

Menggulas lanjut, Muhyiddin berkata soal beliau bangun dari kerusi sebagai tanda sokongan kepada Najib juga tidak penting.

"Itu tidak penting, cakap bangkit (bangun) atau tidak bangkit," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin ketika diminta mengulas mengenai kesudian Najib untuk berdamai dengannya, Muhyiddin menyatakan mereka bukan berada dalam situasi peperangan.

"Ini bukan soal peperangan, ini bukan pergaduhan. Ini soal prinsip perjuangan. Kalau ada perkara (berbangkit), kita sama-sama betulkan. Kalau ada kelemahan kita sama-sama tegur," katanya.

Lihat Komen
ADS