'PAS hanya kerjasama, bukan gabung BN'

       

PAS hari ini menegaskan parti itu hanya bekerjasama dengan Umno dalam beberapa perkara melibatkan kepentingan Islam, masyarakat serta negara, dan bukannya menyertai BN sebagai parti komponennya.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia merupakan pendirian PAS sejak dari dulu lagi dan bukannya merupakan perkara baru dalam pendekatan politik mereka.

"Cuma mungkin dalam suasana yang ada pada hari ini ia (kerjasama) menimbulkan banyak spekulasi. Untuk bersatu dengan Umno, masuk BN, itu semua tak ada.

"PAS memang (sedia) bekerjasama dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan ramai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat exco di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.

Beliau diminta mengulas agenda perpaduan antara kedua-dua parti politik itu dalam usaha memperkukuhkan umat Islam di negara ini.

Usaha ke arah perpaduan itu bermula dengan kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri yang menghulur "tali silaturrahim" kepada PAS pada Perhimpunan Agung Umno 2015 baru-baru ini.

Apa tujuan AMANAH

Ia diperkukuhkan lagi dengan kehadiran bersama Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan Multaqa Serantau Alumni al-Azhar Malaysia pada minggu lepas.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata keputusan untuk bekerjasama dengan Umno dalam beberapa isu yang disepakati itu telah dibincangkan di peringkat parti.

"Benda ini (kerjasama) kita bincang di peringkat PAS Pusat dalam Lajnah Politik dan bukan keputusan presiden (Abdul Hadi ) seorang saja.

"(Semua) setuju, tak ada masalah (untuk bekerjasama dengan Umno). Sebab ini menyentuh kepentingan Islam. Bukan dengan Umno sahaja, dengan siapa-siapa kita boleh bincang, kita boleh duduk sekali," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata Parti Amanah Negara (AMANAH) perlu mengotakan janji mereka untuk menyokong PAS dalam pilihan raya umum akan datang dan bukannya bertindak meletakkan calon mereka untuk bertanding di Kelantan.

"(Pengerusi AMANAH Kelantan) Datuk Wan Abdul Rahim (Wan Abdullah) pernah sebut dari awal parti itu tidak akan kacau Kelantan, (malah) mereka akan bersama dengan PAS untuk pertahan Kelantan daripada Umno.

"Apa tujuan AMANAH nak bertanding sebab bagi saya, jelas tindakan itu akan membantu Umno kerana ia akan memecahkan undi," katanya.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu sebelum ini dilaporkan berkata parti itu akan meletakkan calonnya di Kelantan pada pilihan raya umum PRU akan datang.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda