Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: Yang lemah iman tak lagi istiqamah
Diterbitkan:  Dec 25, 2015 3:18 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memberikan penjelasan berhubung kenyataannya sebelum ini berhubung kesediaan parti Islam itu untuk menjadi penasihat kepada kerajaan.

Menurut Abdul Hadi, kesediaan parti Islam itu untuk menjadi penasihat kerajaan bukan kerana pangkat tetapi untuk menjadi penyelamat.

Katanya, ia juga termaktub di dalam al-Quran dan sunah yang menjadi dasar yang tertinggi dalam undang-undang tubuh PAS.

Dengan memetik surah al-Asr, beliau berkata surah itu menegaskan tentang konsep nasihat yang sangat penting kepada jemaah Islam dan umatnya dengan makna yang luas termasuk terhadap musuh yang paling zalim.

"Apabila saya menegaskan bahawa PAS mengambil pendekatan menjadi pembangkang yang menasihati kerajaan, ramai kalangan yang terlalu bersemangat sehingga mahu menjadi pembangkang semata-mata atau terpengaruh dengan musuh Islam yang mencipta provokasi.

"Maka yang lemah imannya menjadi tidak Istiqamah.

"Perkataan nasihat adalah salah satu daripada perkataan bahasa al-Quran yang sangat luas makna dan maksudnya sehingga merangkumi segala kata dan pendekatan untuk mengajak kepada kebaikan dan kebajikan termasuk meninggalkan segala kemungkaran atau kejahatan dalam segala aspek," kata Abdul Hadi dalam kenyataan.

Selain itu, anggota parlimen Marang itu juga meminta supaya ahlinya tidak mempedulikan pihak yang buta al-Quran.

Jelasnya, seperti yang ada di dalam al-Quran, nasihat dilakukan semua para rasul kepada manusia di zaman mereka.

"Mesej para Rasul yang membawa Islam adalah menyelamatkan manusia bukannya menghalau atau mencari musuh seramai-ramai.

"Maka ahli politik PAS yang menjadi pembangkang wajib mengambil contoh daripada al-Quran dan sunah, bukannya pembangkang daripada England, Amerika Syarikat, Amerika Latin, Taiwan, Korea, Jepun dan sebagainya.

"Mesej kita bukan merampas kuasa semata-mata kerana singgahsana, kerusi dan pangkatnya tetapi penjadi penyelamat.

"Permulaannya menasihati pihak yang berkuasa supaya meninggalkan kemungkaran kepada yang baik atau akhirnya kalau mereka tidak berubah caranya mengambil alih kuasa menjadi penyelamat tanpa dendam kesumat," katanya lagi.

Selain itu, dengan memetik surah al-Ankabut ayat 46, beliau berkata untuk memberi nasihat juga perlu kena pada tempat dan keadaan.

Katanya lagi, dalam perjuangan Islam ia tidak boleh dilaksanakan oleh mereka yang "keras" semata-mata serta oleh pihak yang malu menyebut Islamnya.

"Perjuangan Islam tidak boleh dilaksanakan oleh mereka yang keras semata-mata dan selama-lamanya. Perjuangan Islam juga tidak layak dilaksanakan oleh kalangan yang malu menyebut Islamnya lebih-lebih lagi yang pengecut menyebut Islamnya.

"Perjuangan Islam juga tidak layak kepada mereka yang menyerah kalah menghadapi kekerasan atau menentang kekerasan dengan kekerasan tanpa sempadan atau terpukau dengan habuan jawatan dan harta sebelum menang dan selepas kemenangan atau bermimpi dengan seronok bersama kabinet bayangan.

"Sebenarnya kini kita tenggelam dengan bencana zaman orang-orang jahil menulis dan bercakap tanpa ilmu di bawah langit tanpa sempadan," ujarnya yang juga merupakan naib presiden Persatuan Ulama Sedunia.

Lihat Komen
ADS