Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM enggan ulas dakwaan Najib guna kad kredit SRC
Diterbitkan:  Jan 20, 2016 6:29 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan mengulas mengenai dakwaan terbaru laman web Sarawak Report terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Laman web itu mendakwa perdana menteri menggunakan kad kredit yang didaftarkan di bawah SRC International semasa lawatannya ke Eropah pada bulan Ogos 2014.

"Saya tidak boleh mengesahkannya kerana siasatan sedang dijalankan," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk seri Mohd Shukri Abdull kepada Malaysiakini .

Sarawak Report mendakwa dua kad yang terlibat itu adalah kad Visa yang dikeluarkan oleh CIMB di mana RM449,000 dibelanjakan dan kad Master Card yang dikeluarkan oleh Maybank di mana RM2.8 juta dibelanjakan dalam perjalanan bulan Ogos pada 2014.

Laman itu juga membekalkan nombor kad kredit berkenaan.

Apabila Malaysiakini menjalankan carian dalam talian, didapati bahawa nombor BIN 528943 yang dikatakan milik Master Card Maybank adalah sebenarnya nombor yang diperuntukkan oleh Master Card platinum yang dikeluarkan oleh Ambank.

Bagi kad Visa dengan nombor BIN 458581, semakan mendapati ia adalah kad platinum Visa tetapi tidak ada butiran mengenai bank yang mengeluarkannya.

Begitu juga, dengan carian yang dijalankan oleh bogger pro-kerajaan Lim Sian See di mana dia mendakwa ia menunjukkan bahawa kedua-dua kad itu dikeluarkan oleh Ambank.

Sambil menuduh Sarawak Report terus menyebarkan fitnah, blogger itu berkata, tidak ada mekanisme untuk memeriksa siapa pemilik kad berkenaan atau jika ia benar-benar wujud.

"Ini mungkin ciptaan Sarawak Report juga memandang mereka boleh memalsukan bank-bank yang mengeluarkan kad berkenaan," katanya di Facebook merujuk kepada kesilapan itu.

Sarawak Report kemudian mengeluarkan penjelasan yang berbunyi: "SR berterima kasih kepada pembaca yang mempunyai mata helang itu kerana mengesan kesilapan pada maklumat asal berhubung pengeluar kad. Mereka mengenal pasti dengan betul seperti biasa AmBank, yang digunakan oleh SRC.

"Kami telah semak semula dengan sumber kami berhubung perkara ini dan mereka mengakui berlaku kesilapan dalam komunikasi.”

Sarawak Report mendakwa Najib menggunakan kad-kad berkenaan untuk membiayai perbelanjaan lebih daripada RM3 juta semasa di Eropah pada 2014.

Laman web itu mendakwa maklumat itu terkandung dalam kertas siasatan yang dikemukakan oleh SPRM ke Jabatan Peguam Negara pada 31 Disember

"Antara yang dibiayai termasuk hotel, makanan, pembelian barang kemas dan perbelanjaan mewah peribadi lain di selatan Eropah, termasuk di Itali dan Monaco," petik laporan itu.

SPRM telah menyiasat dakwaan pemindahan RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadi perdana menteri di Ambank pada akhir 2014 dan awal 2015.

SRC International adalah milik Kementerian Kewangan dan juga bekas anak syarikat 1MDB.

Bagaimanapun Pejabat Peguam Negara telah mengembalikan kertas siasatan kepada SPRM dan meminta penjelasan lanjut berhubung siasatannya.

Isnin lalu, SPRM menafikan laporan Sarawak Report yang mendakwa suruhanjaya itu mencadangkan sejumlah 37 dakwaan dikenakan ke atas perdana menteri.

Najib menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi manakala pihak berkuasa mendakwa editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown adalah sebahagian daripada konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri dengan menggunakan dokumen yang dicuri,

Bagaimanapun, Rewcastle-Brown mendakwa bahawa serangan terhadapnya itu adalah untuk menutup skandal tersebut. Kerajaan juga telah menyekat akses ke laman web Sarawak Report .

Malaysiakini telah menghantar e-mel ke Pejabat Perdana Menteri dan SRC International untuk mendapatkan ulasan mereka berhubung dakwaan terbaru itu.

Walaupun percubaan berulangkali, kami gagal menghubungi Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mendapatkan reaksinya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS