Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mungkin menghadapi krisis tidak percaya oleh pemimpin Umno terhadap dirinya tetapi ribuan penyokongnya hadir di Stadium Darul Aman di Alor Setar, hari ini untuk menyatakan solidariti mereka.

Ramai juga yang membawa sepanduk menggesanya untuk kekal sebagai menteri besar.

"Kita bukan di sini hanya untuk menonton bola sepak tetapi untuk sokong Muhkriz.

"Jika Muhkriz diganti, kami akan sangat marah," kata seorang peminat bolasepak M Ruslin Abdullah.

Apabila Muhkriz tiba pada jam 8.30 malam, penyokong menggerumun keretanya sambil melaungkan "Muhkriz! Muhkriz!".

ADUN Jerlun itu kemudiannya melangkah keluar dan bersalaman dengan penyokongnya sambil ada yang menyalakan suar merah.

Antara menyambutnya adalah ADUN Jitra, Datuk Aminuddin Omar yang dikatakan antara pemimpin negeri yang setia bersamanya dan ahli parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau kemudiannya diiringi masuk ke dalam stadium untuk menyaksikan perlawanan persahabatan antara Persatuan Bola Sepak Kedah dan Sungai Ara FA dari Pulau Pinang.

Krisis politik tercetus berikutan wakil rakyat dan pimpinan kanan Umno negeri, yang diketuai ADUN Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanapiah yang juga adalah timbalan pengerusi perhubungan Kedah menyuarakan secara terbuka mengenai hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz.

Dilaporkan seramai 19 daripada 21 ADUN BN, iaitu 17 daripada Umno dan dua dari MCA, menandatangani surat akuan menyatakan hilang kepercayaan mereka terhadap Mukhriz.

Hanya Aminuddin Omar yang dikatakan tidak berbuat demikian.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadap Tunku Sallehuddin, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan pertukaran menteri besar.

Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu ialah Tunku Abdul Hamid yang juga Tunku Laksamana Kedah dan Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Tunku Panglima Besar Kedah.

Najib pada sidang media pada hari sama selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dilaporkan berkata beliau telah menyembah maklum beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung kemelut berkenaan.

Lihat Komen
ADS