Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri besar baru Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanapiah berkata beliau tidak tidur dalam sebuah acara di istana.

Kenyataan itu sekali gus menolak kenyataan pendahulunya Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam sidang media mengumumkan pengundurannya pagi tadi.

Bercakap kepada pemberita di Alor Setar, beliau berkata mungkin klip video yang disebar meluas di Internet menggambarkan beliau dalam keadaan sebegitu telah disunting.

Mukhriz pagi ini meninggalkan pesanan sinis untuk Bashah sebagai penggantinya: "Jangan lena masa angkat sumpah (jadi menteri besar).”

Terdapat serangan di Internet kepada kumpulan anti-Bashah sebelum ini yang cuba menggambarkan timbalan pengerusi Umno Kedah itu sebagai 'kaki tidur'.

Selepas dua minggu pergolakan, Mukhriz hari ini melepaskan jawatannya selepas dimaklumkan Jemaah Pemangku Sultan Kedah bahawa beliau hilang keyakinan majoriti ADUN di negeri itu.

Dua puluh satu ADUN BN dan 15 ADUN pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah menyuarakan pandangan mereka kepada jemaah itu hari Isnin dan Selasa lalu.

Pelantikan Bashah sebagai menteri besar Kedah yang baru diumumkan dalam satu sidang media khas oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din pagi ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS