Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tabung Haji umum 5 peratus dividen, 3 peratus bonus

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini mengumumkan Lembaga Tabung Haji akan mengagihkan RM3.23 bilion dividen dan bonus kepada pendeposit.

Dengan jumlah tersebut, Jamil berkata, kadar dividen kepada pendeposit pada tahun 2015 adalah sebanyak lima peratus dan tambahan bonus haji sebanyak tiga peratus kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan haji.

Jumlah tersebut bagaimanapun menurun berbanding tahun lalu apabila kadar dividen yang diperolehi pendeposit sebanyak 6.25 peratus.

Selain itu, Jamil menjelaskan keuntungan Lembaga Tabung Haji pada 2015 sebanyak RM3.53 bilion.

Namun, selepas mengambil kira pandangan Bank Negara dan prospek ekonomi pada tahun ini, pihak Tabung Haji akan menyimpan RM300 juta dari Keuntungan Boleh Agih tahun ini kepada Rizab Boleh Agih.

"Tabung Haji akan mengagihkan RM3.23 bilion sebagai bonus kepada pendeposit. Seperti yang dinyatakan tadi, baki RM300 juta dari keuntungan tahun ini akan disimpan sebagai rizab.

"Pembayaran bonus kali ini akan memberi manfaat kepada 8.23 juta pendeposit Tabung Haji yang belum pernah menunaikan haji," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi mengumumkan bonus pendeposit Tabung Haji 2015 di ibu pejabat Tabung Haji di ibu negara hari ini.

Sebelum itu, Jamil turut mengingatkan kepada semua pendeposit bahawa simpanan mereka berlandaskan konsep al-wadiah yad dhamanah iaitu simpanan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan dan bonus kepada pendeposit adalah hadiah berdasarkan prestasi kewangan tahunan mengikut budi bicara Tabung Haji.

Justeru, beliau memberi peringatan walaupun bonus diberi setiap tahun tetapi ia tidak boleh dijadikan amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai kebiasaan.

"Mensyaratkan pulangan dalam bentuk hibah terhadap simpanan wadiah boleh menjerumuskan akad tersebut ke dalam riba yang diharamkan syarak dan pulangan itu menjadi sesuatu yang tidak bersih," katanya.

Sementara itu, pada sidang media yang sama, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abd Azeez Abd Rahim memberitahu, para pendeposit akan menerima bonus tersebut selewatnya pada 10 Februari depan.

"Kita akan mula (masukkan bonus) Sabtu dan 10 Februari duit semua dah ada dalam akaun," kata Azeez.

Lihat Komen
ADS