Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Razak Baginda dibayar RM137 juta, 'tapi bukan untuk rasuah pegawai'
Diterbitkan:  Feb 5, 2016 8:29 AM
Dikemaskini: 12:47 AM

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda mengaku menerima kira-kira 30 juta euro (RM137 juta) bagi khidmat konsultansi dalam urusan pembelian kapal selam Scorpene tetapi menafikan wang itu digunakan untuk memberi rasuah kepada pegawai kerajaan bagi pihak syarikat Perancis, Thales.

"Ia adalah perjanjian yang sah. Saya melakukan kerja saya dan saya dibayar untuk itu.

"Dan saya tidak pernah membayar mana-mana pegawai," beliau dipetik sebagai berkata oleh Financial Times .

Ia merujuk kepada pembelian dua kapal selam Scorpene oleh Malaysia pada tahun 2002 apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, ketika itu merupakan timbalan perdana menteri, yang menerajui Kementerian Pertahanan.

Razak Baginda berkata demikian ketika mengulas dakwaan bekas presiden Thales International Asia, Bernard Baiocco Disember lalu "aktif merasuah pegawai-pegawai awam asing yang dikaitkan dengan Najib Razak".

Razak menafikan pernah berkhidmat dengan Najib sebagai penasihat yang dibayar dan berkata beliau hanya "sesekali" bercakap dengan beliau mengenai perjanjian kapal selam "sambil minum teh", menurut Financial Times.

Peguam Baiocco, Jean-Yves Le Borgne, berkata anak guamnya mengaku wang itu dibayar kepada Baginda untuk kerja-kerja melobi tetapi menuduh pihak pendakwa melakukan 'legal acrobatics' apabila cuba mendakwa yang bayaran itu telah digunakan untuk merasuah pegawai kerajaan.

"Mereka mengesyaki menteri ada menerima wang tetapi mereka tidak pernah mempunyai apa-apa untuk membuktikannya," katanya yang dipetik dalam artikel itu.

Le Borgne juga mengesahkan bahawa Najib dan Baginda telah dinamakan dalam dokumen kehakiman.

Laporan itu juga memetik seorang jurucakap kerajaan Malaysia sebagai berkata dakwaan salah laku terhadap Najib dalam perjanjian Scorpene itu adalah "cemaran tidak berasas untuk kepentingan politik".

Jurucakap itu juga menegaskan bahawa Najib tidak mendapat manfaat daripada apa-apa bayaran daripada perjanjian itu, ataupun dihubungi oleh penyiasat Perancis.

[Baca berita lanjut]

Lihat Komen
ADS