Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tun Mahathir juga sedia bersumpah dengan al-Quran

Selepas membuat gesaan supaya Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bersumpah dengan al-Quran, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau juga bersedia untuk berbuat demikian sekiranya diminta.

“Kalau apa yang saya kata itu disangka fitnah atau tidak betul, suruh saya sumpah, saya kena sumpah la.

“Kalau saya suruh orang sumpah, saya pun mesti bersedia bersumpah, dengan niat yang betul. Bukan niat lain sumpah lain,” katanya kepada pemberita di Program Lets Read Quran di Ovul Damansara hari ini.

Sebelum ini Dr Mahatir mencabar supaya Apandi harus bersumpah dengan al-Quran bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara tidak mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan rasuah.

Sebagai orang Islam yang baik, Mahathir dilaporkan berkata, Apandi harus bersumpah menggunakan al-Quran di masjid dengan disaksikan orang ramai bahawa laporan-laporan badan itu tidak mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan amalan itu.

Sementara itu, dalam ucapannya, Dr Mahathir mengeluh kerana rakyat beragama Islam di negara ini membaca al-Quran tanpa memahaminya.

"Masalah yang kita ada pada hari ini adalah kerana orang tidak memahami al-Quran, tapi cuma menekankan kepada menghafal,” katanya.

Menurutnya, seseorang itu tidak boleh merujuk panduan daripada sesuatu yang dia tidak faham.

Beliau memberi contoh sekiranya beliau sesat dan orang memberi panduan dalam bahasa Eskimo, maka sudah tentu beliau tidak memahaminya.

“Kalau saya sesat dan minta petunjuk jalan dan dijawab dalam bahasa Eskimo, sudah tentu ia tidak akan membantu saya.

“Tapi kalau terangkan dalam bahasa Eskimo dan ada terjemahan, jadi saya dapat petunjuk. Perlu ada terjemahan dalam bahasa yang kamu faham,” katanya.

Lihat Komen
ADS