Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas MB saran bekas PM kurangkan berpolitik
Diterbitkan:  Mar 1, 2016 4:00 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyarankan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kurangkan berpolitik tetapi menumpukan kepada isu-isu yang membelengu kehidupan rakyat hari ini.

Katanya, setiap pemimpin negara mempunyai hak untuk buat keputusan yang terbaik atau tidak untuk rakyat.

"Saya berharap, pada masa depan ialah kita kurangkan berpolitik dan menumpukan banyak usaha untuk pembangunan rakyat," katanya ketika diaju soalan pemberita mengenai tindakan Dr Mahathir keluar Umno.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata demikian selepas menghadiri sesi perjumpaan menteri Wilayah Persekutuan bersama anggota-anggota parlimen Wilayah Persekutuan, di kementerian itu hari ini.

Ketika ditanya berhubung tindakan Mahathir mahu bersama pakatan pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Khalid berkata itu adalah hak Mahathir.

Kata Khalid, pemimpin veteran Umno itu berhak untuk memilih haluan politiknya memandangkan mantan perdana menteri itu sudah masak dengan politik negara.

"Saya tidak akan mencampuri tentang apa-apa yang dilakukan. Saya rasa itu keputusan dia, kalau dia buat keputusan itu (sertai parti pembangkang), baguslah untuk dia," kata Khalid lagi.

Semalam, Mahathir mengisytiharkan keluar Umno sebagai bantahan terhadap pentadbiran Najib yang terpalit dengan pelbagai kontroversi.

Malah, Mahathir juga dilaporkan akan membentuk ‘kumpulan’ untuk ‘membebaskan’ negara daripada Najib dan berkata langkah seterusnya ialah menyatukan pihak-pihak yang mahu menyingkirkan perdana menteri.

Lihat Komen
ADS