Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh menarik semula nombor akaun bank yang dimuat naik dalam hantaran terdahulu selepas menerima sumbangan wang tunai lebih RM45,000 daripada orang ramai.

Sambil menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat kerana hampir semua individu yang memasukkan wang ke akaun berkenaan bukan bertujuan untuk membeli motosikal atau ikan tilapia miliknya, sebaliknya ingin menghulurkan sumbangan kewangan secara terus.

“Saya mohon maaf kerana terpaksa untuk menarik semula nombor akaun saya di dalam posting yang sebelum ini.

“Sehingga kenyataan ini dibuat saya dah menerima hampir dekat RM 45,102.18. Saya sangat2-sangat berterima kasih, tetapi niat saya adalah untuk berusaha terlebih dahulu untuk menjual aset saya iaitu motor dan ikan saya terlebih dahulu,” katanya dalam satu hantaran berasingan di Facebook.


Terdahulu, Malaysiakini melaporkan ketua pemuda Umno itu menawarkan motosikal jenis Honda X-ADV dan ternakan ikan tilapia yang diusahakan untuk dibida penyokong dan rakan, dalam usaha mengumpul dana bagi membayar ganti rugi serta kos mahkamah berjumlah RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapati wang simpanannya masih tidak mencukupi untuk menjelaskan jumlah berkenaan seperti yang diperintahkan mahkamah selepas kalah dalam saman kerana memfitnah pemimpin DAP tersebut.

Dalam hantaran awalnya, Akmal membuka bidaan bagi kedua-dua aset berkenaan dengan menetapkan deposit sebanyak RM100 kepada individu yang berminat.

Menurutnya, pembida perlu mengemukakan resit pembayaran bersama maklumat aset yang ingin dibida serta jumlah tawaran manakala deposit akan dipulangkan sepenuhnya sekiranya bidaan tidak berjaya.

Dia turut memberikan nombor akaun banknya.

Akmal berkata, sejujur-jujurnya dia tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak untuk membantu dan mengakui akan bertanggungjawab sepenuhnya.

"Tidak mengapa saya tanggung, saya hanya perlukan doa daripada anda semua sahaja.

"Jadi, kepada sesiapa yang mahu membeli motosikal jenis Honda X-ADV, saya akan berikan perincian selepas ini dan boleh terus mesej saya," katanya lagi.