Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad harus diberikan peluang untuk membentuk kepemimpinan baru bagi sama-sama menyelamatkan negara ini, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Katanya, walaupun Dr Mahathir enggan menggalas tanggungjawab itu namun bekas presiden Umno itu harus diberi kepercayaan.

“Boleh tak kalau kita percayakan Tun, dia sudah tidak mahu (jadi perdana menteri) tapi saya kata dia layak (untuk tubuh pasukan baru).

“Jadi marilah kita bagi peluang pada Tun, biar dia susun satu pasukan baru,” katanya dalam temuramah bersama Malaysiakini, FMT dan Berita Daily.

Katanya, pasukan bagi membentuk kepimpinan baru itu tidak seharusnya mengetepikan parti politik pembangkang dan NGO lain termasuk NGO Islam yang bersikap sederhana.

“Biar Tun susun pasukan tapi jangan tinggal puak yang penting seperti AMANAH, PKR, DAP , jangan tinggal penyokong Anwar, BERSIH, IKRAM (Pertubuhan IKRAM Malaysia) dan penyokong Islam yang moderate dan progresif. Jangan tinggal mereka.

“Kalau kita dapat rangkumi semua, Tun Mahathir boleh kemukakan satu tim yang mampu ubah negara, itu harapan sayalah,” katanya.

Rakyat tak rela ditipu lagi

Zaid sebelum ini mengumumkan akan menganjurkan perhimpunan pada 27 Mac ini bagi membantah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata beliau yakin perhimpunan itu akan memberikan kesan positif terhadap masa depan negara.

Beliau berkata, rakyat di negara ini tidak lagi rela ditipu dengan pentadbiran sedia ada terutamanya apabila mereka ditekan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Malah beliau yakin kepimpinan yang baru mampu merubah negara.

“Saya tidak nampak rakyat kita tak mahu perubahan, mereka tidak rela ditipu. Cuma rakyat tunggu pemimpin untuk memimpin mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS