Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dana AS$1.83b: Bank Negara tunggu maklumat lanjut 1MDB
Diterbitkan:  Mar 22, 2016 1:00 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

Bank Negara masih menunggu 1MDB mengemukakan maklumat lanjut bersama dokumen lain yang diperlukan sebelum memutuskan tindakan susulan berhubung arahannya supaya syarikat pelaburan negara itu memulangkan dana AS$1.83 bilion ke Malaysia.

Ini berikutan keputusan bank pusat itu yang menarik balik kelulusan yang diberikan kepada 1MDB untuk pelaburan di luar negara selepas Pejabat Peguam Negara mengarahkan tiada tindakan lanjut perlu diambil mengenai siasatannya.

Bagaimanapun 1MDB berkata bahawa wang berkenaan tidak dapat dihantar pulang kerana ia telah pun dibelanjakan atau telah diperuntukkan untuk pembayaran hutang.

“Setakat ini, penilaian sedang dibuat terhadap maklum balas yang diberi oleh 1MDB.

“1MDB perlu mengemukakan maklumat lanjut berserta dengan dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan sebelum tindakan susulan diambil setelah proses penilaian selesai,” kata kementerian kewangan ketika menjawab soalan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya) semalam.

Pua dalam soalannya ingin tahu sama ada bank pusat berpuas hati dengan jawapan 1MDB berhubung perintah penghantaran pulang semula wang berkenaan.

Sementara itu kepada soalan yang berasingan daripada Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) mengenai jumlah jualan 1MDB dan hasil cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diterima firma itu, kementerian kewangan itu menjawab tidak ada.

"Sehingga ke hari ini, syarikat 1MDB tidak berdaftar untuk GST memandangkan 1MDB tidak mempunyai pendapatan yang layak sebagai pembekalan bercukai," katanya.

Bagaimanapun menurut kementerian kewangan, penjualan aset-aset jana kuasa Edra Global Energy Bhd (Edra) kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN) dan plot tanah Tun Razak Exchange (TRX) kepada Tabung Haji adalah tidak tertakluk kepada GST.

Lihat Komen
ADS