Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu derma RM2.6 bilion dianggap selesai, kata Khairy

Isu derma RM2.6 bilion diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak oleh kerajaan Arab Saudi dianggap selesai selepas menteri luar negara itu memberi penjelasan mengenainya, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut beliau, penjelasan itu dilihat dapat menutup segala cerita apabila mendapat pengesahan daripada kerajaan Arab Saudi sendiri.

"Maka benda itu betullah bahawa ini sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi tanpa meminta apa-apa balasan.

"Jadi isu ini dah selesai, dah disahkan oleh kerajaan yang memberi derma tersebut," katanya pada sidang media selepas program Kupas Buku anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenjung (GPMS), di Petaling Jaya hari ini.

Semalam Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir dilaporkan mengakui bahawa sumbangan derma kepada Najib datang daripada negara itu.

Terdahulu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 26 Januari lalu telah membersihkan Najib daripda sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Ditanya kemungkinan isu tersebut tetap dipolitikkan, Khairy berkata, melalui pengesahan Arab Saudi mereka juga perlu‎ meyakinkan rakyat.

"Kita kena yakinkan juga rakyat bahawa ini adalah pengesahan dibuat oleh negara yang telah memberi sumbangan derma tersebut dan kalau tak yakin juga ‎tak ada apa yang kita boleh buat.

"Tapi kita kena viralkan apa yang disebut oleh menteri luar Arab Saudi dan kena beritahu bahawa ini pengesahan yang dibuat oleh tuan yang memberi derma, jadi tidak ada apa-apa lagi yang disembunyikan.‎

Sementara itu, mengulas mengenai permintaan DAP supaya isu 1MDB disiasat semula, Khairy berkata, perkara itu terserah kepada siasatan polis.

"‎Pihak polis telah membuka semula siasatan terhadap ‎1MDB berdasarkan kepada laporan PAC, jadi kita serahkan kepada pihak polis," katanya.

Lihat Komen
ADS