Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Salleh: Dr M perlu minta maaf pada Najib dan rakyat M'sia
Diterbitkan:  Apr 16, 2016 3:54 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu meminta maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakyat Malaysia berikutan dakwaan dilemparkan berhubung derma RM2.6 bilion, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata Najib amat konsisten dengan jawapan beliau terhadap isu berkenaan walaupun pelbagai tuduhan tidak berasas dilemparkan kepadanya.

"Sejak dari mula lagi perdana menteri telah katakan bahawa dana tersebut disumbangkan oleh kerajaan Arab Saudi dan beliau amat konsisten (dengan jawapan beliau)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra Siswa Perdana 2016 Parlimen Ketereh di Sekolah Menengah Kebangsaan Kadok di Kota Bharu hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dan program selama lima hari itu disertai lebih 800 pelajar daripada 18 universiti awam.

Menteri Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir semalam mengesahkan bahawa sumbangan RM2.6 bilion kepada Najib datang daripada negaranya dan "tidak mengharapkan apa-apa balasan".

Salleh berkata perakuan itu sekaligus mengesahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang meneliti penyiasatan tersebut bahawa tiada unsur-unsur rasuah dan wang itu bukan daripada 1MDB.

"Sekarang dengan adanya kenyataan sedemikian, Tun Mahathir harus meminta maaf kepada perdana menteri dan rakyat Malaysia atas perbuatan yang beliau lakukan sehinggakan negara kita dilihat secara negatif oleh pihak-pihak tertentu.

"Sepatutnya kita tumpukan perhatian kita untuk memberi sokongan padu kepada kerajaan untuk menangani isu-isu semasa khususnya dalam isu ekonomi, itu yang amat penting," katanya.

Ditanya mengenai debat terbuka antara Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung isu penjualan tanah Taman Manggis, beliau berkata kedua-dua pihak perlu menghormati saranan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Azam Baki.

"Ketua Polis Negara menasihatkan agar perbahasan itu dibatalkan kerana akan mengganggu siasatan, dan seharusnya mereka perlu menghormati apa yang telah disarankan," katanya.

Pada 6 April lepas, Abdul Rahman mencabar Lim berdebat secara terbuka berhubung isu berkenaan dan cabaran itu disahut Setiausaha Agung DAP itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS