Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Lawan guna isu tempatan, jangan seret isu 1MDB'
Diterbitkan:  Apr 20, 2016 9:25 AM
Dikemaskini: 3:04 AM

Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mencabar pembangkang berdepan dengan BN atas isu-isu mengenai rakyat Sarawak, dan tidak membangkitkan skandal kewangan 1MDB dan isu nasional yang lain.

Beliau mencabar parti-parti pembangkang, terutamanya DAP supaya jangan mengheret isu-isu nasional ke Sarawak.

"Lawan saya dan pasukan saya atas isu-isu tempatan Sarawak. Jangan guna isu-isu nasional seperti 1MDB untuk menyerang BN Sarawak. Isu-isu tersebut tidak ada kaitan dengan Sarawak," Adenan dipetik sebagai berkata oleh The Star.

"Saya tahu parti-parti pembangkang akan bawa isu-isu nasional untuk menyerang BN Sarawak. DAP suka berbuat demikian. Saya cabar mereka untuk lawan dengan hanya menggunakan isu-isu Sarawak dan isu-isu nasional," kata Adenan semasa satu jelajah prakempen pilihan raya di Miri semalam.

Katanya, beliau telah melaksanakan lebih daripada 50 "perkara-perkara baik" untuk Sarawak sejak menjadi ketua menteri pada 2014.

Antaranya, kata Adenan, beliau telah mengurangkan cukai pintu di seluruh Sarawak, memansuhkan cukai tanah, memansuhkan tol dan mengurangkan tarif elektrik.

"Saya tidak takut untuk berdepan dengan pembangkang berkaitan isu-isu tempatan kerana saya tahu perkara-perkara baik yang kerajaan negeri telah dilakukan," katanya.

Adenan juga mempertahankan hubungannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, mengapa beliau tidak boleh mempunyai hubungan kerja yang rapat dengan perdana menteri demi untuk membangunkan Sarawak.

Menurut Adenan, beliau memberi sokongan penuh kepada Najib kerana, daripada semua perdana menteri, Najib paling kerap melawat Sarawak dan memberikan bantuan kewangan yang paling besar.

"Najib telah datang ke Sarawak sekurang-kurangnya 50 kali dan memperuntukkan RM3 bilion dana pembangunan. Sudah tentu, saya sokong beliau untuk itu," Adenan dipetik sebagai berkata.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa pengundi untuk menafikan BN negeri kemenangan besar, dengan berkata ia akan memberi mandat kepada Najib berhubung GST.

Beliau juga membidas sokongan Adenan kepada perdana menteri di tengah-tengah skandal kewangan RM42 bilion yang menyelubungi 1MDB.

"Mereka larang kita (masuk Sarawak) kerana mereka takut hanya satu perkara, bahawa pemimpin DAP akan memberitahu rakyat Sarawak satu perkara bahawa Adenan telah menyokong dan akan terus menyokong Najib," kata Lim kepada pengundi di Kuching, Serian dan Bau.

Sekurang-kurangnya sedozen pemimpin DAP telah dilarang memasuki Sarawak. Kerajaan negeri berkata ia tidak akan mendedahkan senarai nama mereka dalam senarai larangan itu.

Malaysiakini telah mengesan sekurang-kurangnya 40 ahli Parlimen pembangkang, aktivis dan ahli akademik yang telah dilarang memasuki Sarawak setakat ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS