Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad Razif enggan ulas gelaran Datuk Seri ditarik balik
Diterbitkan:  Apr 24, 2016 2:12 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman enggan mengulas desas-desus penarikan balik darjah kebesaran istana yang diberikan kepadanya.

Beliau hanya mengucapkan ringkas 'terima kasih' dan menaiki kenderaan rasminya apabila diserbu wartawan sebelum meninggalkan Majlis Perasmian Persidangan Wakaf Senusantara 2016, di Hotel Primula, di Kuala Terengganu tengah hari tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Osman Muda turut enggan mengulas apabila ditanya mengenai viral perlucutan gelaran itu.

Sementara itu, Berita Harian turut melaporkan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin belum mengeluarkan titah rasmi berhubung isu perlucutan itu.

Akhbar itu juga difahamkan titah mengenai perlucutan anugerah itu hanya disuarakan secara lisan.

'Dimurkai Sultan ketika solat Jumaat'

Terdahulu portal Malaysia Dateline melaporkan Ahmad Razif kini tidak mempunyai sebarang gelaran kebesaran selepas ditarik balik petang Jumaat lalu.

Memetik sumber dari Kuala Terengganu, portal itu melaporkan kemungkinan Ahmad Razif menjadi menteri besar paling singkat dalam sejarah Terengganu apabila berdepan krisis dengan istana.

Ahmad Razif dilantik menjadi menteri besar bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said Mei tahun lepas (2015).

Malaysia Dateline melaporkan Razif menyerahkan semua darjah dan bintang kebesarannya selepas dimurkai oleh pihak Istana ketika mengiringi Sultan Terengganu menunaikan solat Jumaat.

Ahmad Razif dianugerahkan pingat Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan ulang tahun ke-53 pada 24 April 2015.

Pagi ini, pada majlis Persidangan Wakaf Senusantara 2016, gelaran Datuk Seri tidak disebut oleh pengacara majlis, sekadar menyebut Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Terengganu.

Sultan Mizan berangkat dan merasmikan Persidangan Wakaf Senusantara 2016 itu.

Pada ucapan alu-aluan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hanya menyebut Menteri Besar dan bukannya Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman seperti ucapan majlis lain, sebelum ini.

Lihat Komen
ADS