Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Mesyuarat kabinet di Kuching bukan perkara luar biasa

Mesyuarat Kabinet Persekutuan di Petrajaya hari ini bukanlah perkara luar biasa kerana setiap menteri mempunyai tanggungjawab masing-masing di peringkat negeri, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata ini berbeza dengan kehadiran pemimpin peringkat negeri seperti Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berada di Sarawak semata-mata untuk berkempen.

"Kalau pembangkang nak jadikan (ini) isu, saya nak ingatkan pemimpin mereka seperti Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang beliau tiada bidang kuasa di luar Pulau Pinang tetapi beliau berada di sini untuk berkempen semata-mata.

"Setiap anggota menteri mempunyai bidang tanggungjawab kementerian masing-masing di setiap negeri. Menteri akan melihat kerja-kerja kementerian masing-masing, termasuk melihat masalah rakyat, membuat tinjauan, keberkesanaan dasar dan projek yang diluluskan kerajaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Wisma Bapa Malaysia, Kuching.

Perdana menteri berkata tujuan mesyuarat di Petraya adalah tanda sokongan dan kerjasama terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Beliau juga berkata langkah mengadakan mesyuarat mingguan Kabinet di luar Putrajaya dilakukan dari semasa ke semasa.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Adenan dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Najib berkata anggota kabinet berada di Sarawak kerana mereka ada tanggungjawab untuk memastikan keberkesanan penyampaian kementerian di setiap negeri.

Kali terakhir mesyuarat mingguan Kabinet diadakan di luar Putrajaya ialah di Kuantan pada 2011.

Mengenai larangan terhadap beberapa pemimpin masuk ke Sarawak, Najib berkata ia adalah kuasa kerajaan negeri dan semua pihak harus menghormati keputusan itu.

“Ini merupakan budi bicara mereka. Saya percaya bahawa kerajaan negeri ada pertimbangan tertentu yang penting kerana tidak mahu suasana politik dikeruhkan dengan ucapan yang mungkin boleh menyentuh perasaan dan sebagainya.

“Hakikatnya, demokrasi berjalan sebab kalau kita mementingkan soal rakyat Sarawak, maka, ketentuan patut dibuat oleh rakyat termasuk pemimpin mereka. Itu merupakan kayu ukur, bukan daripada orang luar, sebaliknya orang Sarawak yang patut menentukan siapa yang patut berkempen untuk mereka,” katanya.

Antara individu yang dilarang masuk ke Sarawak ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Penganjur DAP Anthony Loke, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Pengerusi DAP Perak dan juga anggota parlimen Taiping, Nga Kor Ming, Ketua Umno Sungai Besar yang juga ketua Gerakan Merah, Jamal Md Yunos.

Sementara Menteri Besar Selangor, yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah dihadkan tempoh tinggal mereka di Sarawak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS