Dua hari berturut-turut Nik Abduh peringatkan 'pahala' membantu Najib
Selama dua hari berturut-turut seorang tokoh PAS menzahirkan ‘kelebihan’ buat orang yang membantu bekas perdana menteri, Najib Razak, yang setakat ini gagal kembali ke rumahnya untuk menjalani baki hukuman penjara yang dikenakan oleh mahkamah.
Ganjaran yang dinyatakannya – pahala.
Bagi anak bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, menyatakan Najib wajar dibantu dan kerja buat tersebut, katanya, “berpahala.”
Semalam Nik Abduh malah menyatakan bahawa sokongan yang diberikan itu selaras dengan kehendak syarak serta tidak terkait dengan amalan “sakau” – istilah basahan yang merujuk kepada penyelewengan.
“Muslim (yang) bantu bayar RM50j untuk DSNR (Datuk Seri Najib Razak) adalah berpahala.
“Ia bukan sokong sakau. Ia menyokong sistem pengampunan Agong yang diakui syarak,” katanya di media sosial.
Hari ini dia mempertegaskan lagi pandangannya itu dengan mendakwa apa saja sumbangan yang diberikan oleh seseorang untuk Najib akan diberi ganjaran pahala.
“Bukan hanya derma, malah sebarang tindakan dan usaha memudahkan kesukaran DSNR memperoleh haknya yang dibenarkan adalah berpahala,” katanya – juga di media sosial.
Najib sudah diberi pengampunan daripada hukuman asal selepas dia disabitkan oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan terkait dana SRC International Sdn Bhd.
Kesalahan tidak kena denda
Dia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, untuk menghabiskan baki hukuman penjara – yang asalnya selama 12 tahun namun dikurangkan kepada enam tahun – di rumah.
Minggu lalu kawasan kediaman anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu sudah diwartakan sebagai penjara. Bagaimanapun perjalanan Najib dari Penjara Kajang ke rumah di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur itu tergendala.
Ia gara-gara dokumen yang ditandatangani Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nurul Ain Hamzah, itu dianggap tidak jelas oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ia mendorong Najib dibawa kembali ke Penjara Kajang sementara AGC mendapatkan kesahihan perintah yang dikeluarkan melalui dokumen berkenaan.
Polemik di media sosial menunjukkan beberapa kekeliruan atau maklumat yang tidak jelas ditulis. Misalnya percampuran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, nama Najib yang tidak konsisten.
Dokumen itu juga memaparkan bahawa Najib melakukan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan ia diulang sebanyak tiga kali.
Sedangkan mengikut pertuduhan mahkamah bekas Ahli Parlimen Pekan itu bukan didapati bersalah atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan saja.
Baca Nik Abduh: Populariti Najib atasi Nik Aziz
Dia turut disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta satu satu pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Peguam dan pempengaruh, Liyana Marzuki, menyatakan hukuman yang ditetapkan mahkamah bagi kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu tidak melibatkan denda.
“Najib didenda untuk kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 saja,” katanya di Facebook.
Nik Abduh merupakan seorang senator yang dilantik Kelantan dan pernah mengetuai Pemuda PAS Pusat, serta mendapat undi tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat.
Pandangan yang tidak waras.
Menolong perompak, penyangak, pencuri, penipu dan perosak macam ni adalah pahala?? Rakyat yang tanggung hutang negara kerana orang ini dan kamu cakap pasal pahala? Dia merosakkan nama negara, mencuri wang rakyat dan mengkhianati negara ini. Orang pas sungguh memalukan dan tunggang agama menghalalkan rasuah.
Lapor komen ini
/file/attachments/889/abduhh_916134.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.