Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMANAH buat keputusan bertanding selepas 15 Mei

Parti Amanah Negara (AMANAH) hanya akan membuat keputusan pada 15 Mei ini sama ada akan bertanding pada dua pilihan raya kecil (PRK) akan datang, kata presidennya Mohamad Sabu.

“Kita akan bincangkan perkara (bertanding dalam dua PRK) pada 15 Mei depan,” kata Mohamad ketika dihubungi Malaysiakini.

Malah, ketika diminta mengulas tindakan PAS terlebih dulu mengumumkan akan bertanding di kerusi parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Mohamad berkata beliau masih menunggu keputusan rasmi mengenai kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan.

“Kita masih lagi menunggu pengumuman rasmi dari kerajaan, kerajaan pun tak umum kekosongan jadi kita pun tak bincang langsung mengenainya tapi apa pun kita akan berbincang pada 15 Mei ini,” katanya yang juga mesra dengan panggilan Mat Sabu.

Portal rasmi PAS, Harakahdaily, memetik ketua pengarah pilihan raya parti itu, Datuk Mustafa Ali, semalam mengumumkan PAS akan bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan.

Katanya, pada pilihan raya umum lalu calon PAS hanya kalah tipis 399 undi di Sungai Besar manakala di Kuala Kangsar pula majoriti calon BN hanya kira-kira 1,000 undi.

Kedua-dua kerusi itu kosong berikutan nahas udara Khamis lalu yang mengorbankan enam orang di sungai Batang Lupar, Sarawak.

Mereka yang terbunuh itu termasuk, ahli parlimen Sungai Besar yang juga adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar. Wan Ahmad.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pagi ini berkata HARAPAN akan membincangkan sama ada mana-mana parti sekutunya akan bertanding pada dua pilihan raya kecil itu.

Pada pilihan raya Sarawak kelmarin, PAS bertembung dengan parti serpihannya yang kini menganggota Pakatan Harapan. Kedua-dua parti itu gagal mendapat sebarang kerusi.

Azmin, sebelum ini turut mempelawa PAS kembali dalam satu pasukan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berikutan kekalahan teruk pembangkang semasa pilihan raya Sarawak.

Kedua-dua kerusi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah kawasan campuran dengan majoriti Melayu yang secara tradisinya ditandingi oleh PAS tetapi kini diintai pula oleh AMANAH.

Lihat Komen
ADS