Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganggur curi 14 kotak ubat gigi dipenjara 3 hari

Gara-gara mencuri 14 kotak ubat gigi di sebuah pasar raya, seorang penganggur dihukum penjara tiga hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Mohd Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas Shahrul Izwandy Mazlan, 22, selepas dia mengaku bersalah mencuri ubat gigi yang kesemuanya bernilai RM161 milik Kedai Sam's Groceria, di sini pada 7.45 petang, Ahad lepas.

Mahkamah memerintahkan Shahrul menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 29 Mei lepas dan jika gagal membayar denda dia akan penjara 10 hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dan bagi kesalahan kali kedua atau lebih boleh dikenakan hukuman penjara dan juga denda atau sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

Peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana esok adalah hari pertama anak guamnya yang berasal daripada keluarga yang susah akan bekerja sebagai promoter.

-Bernama

Lihat Komen
ADS