Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN Wakil Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang sekali lagi menggamatkan bukan sahaja muktamar tahunan pemuda PAS 2016 yang sedang berlangsung, tetapi juga seluruh Malaysia.

Tajuk berita khasnya dalam Malaysiakini menggambarkan seolah-olah Saudara Hafiz Alias menyatakan bahawa Pulau Pinang memiliki tanah rizab Melayu.

Sedangkan tuntutan sebenar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang adalah menggesa wakil rakyat terutama dalam kalangan pemimpin Melayu untuk mengusulkan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya tanah milik orang Melayu di negeri ini diwartakan sebagai tanah rizab Melayu.

Ini dengan mewujudkan suatu enakmen seperti Enakmen Rizab Melayu yang ada di negeri-negeri Semenanjung selain Melaka dan Pulau Pinang.

PAS sedia maklum bahawa Pulau Pinang tiada enakmen rizab Melayu. Namun, hal pewartaan tersebut adalah tidak mustahil untuk dilakukan dan memerlukan keberanian politik dalam kalangan pemimpin terutamanya pemimpin Melayu-Islam.

Jikalau dilihat daripada sudut demografi, populasi penduduk Pulau Pinang adalah 1.663juta orang seperti laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (2014); iaitu Cina (42.2 peratus), Melayu (41.3 peratus), India (9.8 peratus), bangsa-bangsa lain termasuk warga asing (6.7 peratus).

Namun hal yang membimbangkan adalah bilangan penduduk Melayu di pulau semakin mengecil terutamanya di daerah Timur Laut.

Menurut laporan Penang Research Centre In Socio-Economy (PreCISE), populasi penduduk Melayu di daerah ‘kelas menengah’ itu berkurangan sebanyak 105,400 orang pada 2012 berbanding 2010, sedangkan Timur Laut merupakan pusat ekonomi dan pentadbiran utama negeri ini.

Pola migrasi ini dijangka berterusan apabila beberapa lagi cadangan projek pembangunan lain termasuk Penang Transport Master Plan (PTMP) seperti pembinaan lebuh raya dan terowong dasar laut yang akan dilakukan pada masa hadapan terutamanya di daerah tersebut.

Selain itu, peratusan pemilikan tanah juga tidak seimbang jika dibandingkan dengan populasi penduduk Melayu berbanding penduduk lain.

Menurut Pejabat Tanah dan Galian pada 2010, pemilikan tanah oleh kaum Cina di Pulau Pinang mengikut bilangan hak milik adalah sebanyak 64 peratus, manakala Melayu pula hanya 28 peratus dan India sebanyak 8 peratus.

Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan kerana semasa satu program seminar tanah anjuran Pertubuhan Warisan Tanah dan Teroka Bandar (TEROKA) pada 21 Mei 2016 baru-baru ini, seorang pembentang kertas kerja yang juga penilai berdaftar, Sr Che Had Dhali telah menyatakan bahawa fakta terkini bilangan pemilikan tanah orang Melayu sehingga tahun 2016 sudah menjadi 20.41 peratus.

Oleh itu, hampir 8 peratus bilangan pemilikan tanah orang Melayu telah ‘hilang’ dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, iaitu daripada 2010 sehingga 2016.

Sama macam BN

Hal ini menjadi lebih kritikal di kawasan pulau apabila bilangan pemilikan tanah orang Melayu hanya sekadar 1.16 peratus sahaja!

Gambaran yang lebih jelas juga dapat dilihat setelah lenyapnya beberapa kampung tradisi Melayu seperti di Batu Uban yang tidak berapa jauh dari Kampung Buah Pala yang pernah menggegarkan Malaysia dahulu.

Namun soal pampasan dan rumah ganti dalam kes dua kampung tersebut amatlah berbeza kerana sikap pimpinan negeri ini yang dilihat pilih kasih dalam mengendalikan proses pengambilan tanah untuk tujuan pembangunan.

Tidak cukup dengan itu, Akta Penggambilan Tanah turut digunakan untuk ‘menghalau’ orang Melayu secara terhormat umpamanya di Kampung Padang Benggali Telok Air Tawar, Kampung Gajah dan Kampung Bagan Dalam Butterworth, Jalan Permatang Batu Permatang Rotan dan juga di Bandar Baru Telok Kumbar.

Ada banyak lagi kes penduduk kampung Melayu telah dan bakal keluar seperti di Kampung Sungai Tiram, Kampung Mutiara, Kampung Permatang Tok Suboh dan kampung Melayu di Jelutong.

Para penduduk di kampung tersebut akan pasrah menerima sahaja pampasan dan rumah ganti yang kecil tanpa sebarang suara atau rungutan berbanding penduduk Kampung Buah Pala dahulu.

Inilah justifikasi yang menyebabkan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang menuntut supaya tanah milik Melayu di negeri ini diwartakan sebagai tanah rizab Melayu.

Langkah ini tidak sedikit pun mengancam atau menceroboh hak kaum lain sebaliknya adalah satu tindakan untuk memastikan kemandirian orang Melayu di Pulau Pinang bagi mendepani arus deras pemodenan.

Jika tanah rizab Melayu ini diwujudkan, serta diteguhkan lagi dengan peruntukan undang-undang seperti Enakmen Tanah Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 dan Akta Warisan Kebangsaan 2005, sebarang pengambilalihan tanah atau kampung warisan penduduk Melayu, contohnya untuk ‘kepentingan awam’ mesti digantikan dengan satu kawasan tanah atau penempatan setara yang khas dan dipersetujui penduduk.

Hal itu juga bagi memastikan tanah milik Melayu tidak dieksploitasi untuk kepentingan bukan Melayu atau pemaju yang tamak.

Maka keluasan atau bilangan pemilikan tanah orang Melayu mampu dikekalkan dalam tangan orang Melayu juga.

Perlu juga diingatkan bahawa jumlah peratusan pemilikan tanah orang Melayu yang disebutkan di atas adalah sebelum pelaksanaan beberapa projek mega termasuk projek penambakan laut di bahagian selatan pulau yang disebut sebagai South Reclamation Scheme (SRS).

Projek-projek mega seperti ini bakal meneruskan model pembangunan tidak mampan seperti di kawasan tambak laut dan juga dalam beberapa kes pembangunan di lereng-lereng bukit yang memusnahkan alam sekitar bagi membangunkan projek mewah yang tidak bermanfaat kepada penduduk setempat.

Model pembangunan seperti ini sama saja seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan BN di negeri ini suatu ketika dahulu.

Kerajaan mesra pemaju

Bezanya, kerajaan negeri pimpinan parti DAP mendakwa mereka adalah parti politik berteraskan idealisme sosial demokrat.

Namun, mereka kelihatan begitu mesra pemaju yang rakus mengejar keuntungan semata-mata bagi memenuhi nafsu dan kepentingan golongan kelas menengah serta para pemodal besar dalam kalangan penduduk luar Pulau Pinang (juga luar negara) yang sebenarnya memacu dan mempengaruhi pasaran hartanah mewah di negeri ini.

Apabila hal ini terjadi, pemilikan tanah orang Melayu akan menjadi semakin mengecil kerana nilai tanah mereka bakal meningkat naik akibat faktor sosio ekonomi persekitaran kawasan elit dan mewah seperti di selatan pulau termasuk di Batu Maung, Permatang Damar Laut, Sungai Batu dan Telok Kumbar lantas mewujudkan kecenderungan mereka untuk menjual tanah kepada pihak tertentu.

Namun, jika tanah rizab Melayu diwartakan, hanya orang Melayu sahaja boleh membeli tanah tersebut dan hal ini dapat mengawal eksploitasi umpamanya oleh pemaju atau orang tengah daripada terus menerus memujuk rayu serta manipulasi penduduk Melayu untuk menjual tanah.

Tidak cukup dengan itu, sudahlah pemilikan tanah orang Melayu semakin berkurang, penduduk Melayu juga tidak mampu lagi untuk memiliki hartanah di negeri ini kerana harga yang amat mahal.

Contohnya rumah dengan harga yang dikatakan ‘mampu milik’ bernilai RM 400,000 sahaja!

Projek perumahan mewah dilihat begitu mendominasi dalam kawasan-kawasan yang dahulunya menjadi penempatan tradisi penduduk Melayu.

Justeru itu, hal ini akan meneruskan lagi pola migrasi orang Melayu keluar ke daerah lain termasuk ke Sungai Petani, Kulim dan Padang Serai terutamanya golongan Melayu 40 peratus terbawah yang berpendapatan isi rumah bulanan secara purata sebanyak RM 2367 sahaja, seperti dilaporkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2014.

Menyedari hal-hal yang telah disebutkan di atas, Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang setelah perbahasan muktamar pemuda yang telah berlangsung, ingin sekali lagi menggesa pimpinan politik negeri Pulau Pinang untuk bersama-sama mengerakkan usaha ke arah mewartakan tanah milik orang Melayu di negeri ini sebagai tanah rizab Melayu.

Inilah hasrat yang telah dan ingin disampaikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang dan ia jelas sekali berbeza dengan laporan-laporan serong dalam akhbar dan media tertentu.
 


IR AHMAD RAFAEI BIN A RASHID naib ketua Pemuda PAS Pulau Pinang.

Lihat Komen
ADS