Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bagaimana Felcra tanggung RM687 juta untuk pejabat percuma
Diterbitkan:  Jun 7, 2016 10:05 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Pada awal tahun 2015, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) dijanjikan akan mempunyai sebuah ibu pejabat baru tanpa perlu membayar satu sen pun.

Apa yang perlu dilakukan adalah hanya dengan membenarkan pemaju Kumpulan WZR untuk membiayai dan membina projek pembangunan campuran yang termasuk sebuah menara 35 tingkat pejabat, sebuah menara kediaman 43 tingkat, dan pusat membeli-belah di tanahnya di Jalan Sultan Yahya Petra (Jalan Semarak) di Kuala Lumpur.

"Permohonan Felcra Bhd untuk melaksanakan pembangunan bercampur dengan kod RM550 juta... yang akan dimajukan oleh WZR, diluluskan memandangkan Felcra tidak perlu mengeluarkan sebarang dana untuk menanggung pembangunan projek ini,” petik surat daripada Menteri Kewangan Diperbadankan pada 18 Feb 2015.

Menurut mereka yang biasa dengan perkara itu, Felcra akan mendapat 12 tingkat di menara pejabat dan sebuah dewan bankuet, manakala WZR akan mendapat semula pelaburannya dengan menyewakan seluruh ruang pejabat dan daripada jualan unit-unit kediaman.

Semuanya ketika itu berjalan dengan baik, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan projek yang dikenali sebagai Menara Felcra itu pada bulan Mei 2015.

Bagaimanapun setahun kemudian, segalanya tidak berjalan seperti yang dirancang.

Felcra bukan sahaja gagal mendapat ibu pejabat baru secara percuma tetapi sebaliknya terpaksa membiayai keseluruhan projek.

Malaysiakini difahamkan bahawa status WZR daripada pemaju projek bertukar menjadi kontraktor yang diupah oleh Felcra kerana ia tidak mempunyai wang untuk membiayai pembinaan itu.

"Apa yang berlaku kontraktor gagal memperolehi sumber pembiayaan daripada bank,” kata sumber yang menyedari perkara itu tetapi tidak mahu nama mereka disiarkan.

Mereka juga mendedahkan bahawa WZR juga berhujah adalah lebih baik bagi Felcra membiayai projek itu sendiri.

Untung lebih

WZR, dakwa mereka, memberitahu Felcra bahawa ia boleh membuat keuntungan yang lebih sebagai pemaju hartanah bukan hanya sebagai pemilik tanah.

Felcra sebuah konglomerat milik kerajaan ditubuhkan dengan tujuan untuk membangunkan sektor luar bandar dengan membantu penduduk menyertai aktiviti-aktiviti ekonomi negara dan seterusnya meningkatkan taraf hidup dan nilai kehidupan mereka. Ia terlibat dalam pembinaan, kejuruteraan dan perdagangan.

WZR dilaporkan memberitahu Felcra bahawa ia akan memiliki aset bernilai RM1.1 bilion berdasarkan nilai pembangunan kasar projek itu (GDV) dan bukan hanya RM288 juta jika ia membiayai pembinaan Menara Felcra.

Ia juga didakwa berkata Felcra akan mendapat hasil RM26.4 juta setahun daripada menyewa plot komersial dan dewan di pusat konvensyen itu, selain daripada wang mengutip bayaran tempat letak kereta.

Felcra akhirnya bersetuju mengambil alih projek itu selepas mesyuarat pada 21 Januari tahun ini.

Sehubungan itu, ia kini memerlukan wang tambahan.

Bung Mokhtar: Tiada isu

Mengikut surat Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditujukan kepada Pengerusi Felcra Datuk Bung Mokhtar Radin pada 12 April lalu, WZR kini adalah kontraktor projek berkenaan yang bertanggungjawab terhadap reka bentuk dan pembinaan, manakala pembinaan menara itu telah diambil alih oleh Felcra Properties Sdn Bhd.

Surat itu juga menyatakan bahawa WZR akan dibayar modal permulaan sebanyak RM20 juta untuk kerja-kerja permulaan dan akan mempunyai kontrak tidak melebihi RM687.5 juta.

Ia akan dibayar secara interim berdasarkan pembangunan kemajuan.

Apabila ditanya kedudukan WZR dari sebuah syarikat pemaju menjadi kontraktor, Bung Mokthar memberitahu Malaysiakini bahawa perkara itu "bukan satu isu".

“Sebenarnya tak ada isu, segala yang berlaku diputuskan dalam mesyuarat penuh BoD (lembaga pengarah) Felcra dan dipersetujuia oleh MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) selaku pemegang saham, yang lainnya tak dapat saya maklumkan kerana ia strategi perniagaan,” katanya.

Menurut Bung Mokhtar yang juga adalah ahli parlimen Kinabatangan, WZR telah memenangi projek Menara Felcra melalui tender terbuka.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Pengarah Urusan WZR Ahmad Kamal Kasani juga enggan mengulas ketika dihubungi, dengan alasan beliau berada di Mekah.

Malaysiakini juga telah menghubungi Kementerian Kewangan untuk mendapatkan ulasan berhubung dakwaan berkenaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS