Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid tak terkejut, doakan Allah terima taubat Nizar

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak terkejut dengan apa yang diperkatakan oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin bahawa Allah mahu rakyat Kuala Kangsar mengajarnya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya kecil 18 Jun ini.

Sebaliknya, Zahid berkata beliau mendoakan agar Allah swt menerima taubat pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) itu.

“Saya tidak terkejut dengan apa yang keluar dari kalam beliau (Nizar), kerana rupanya beliau belum pernah berubah dan belum cukup bertaubat dengan apa yang beliau alami sebelum ini.

“Saya syukur kerana beliau berkata demikian, mudah-mudahan taubat beliau segera diterima Allah swt,” kata Ahmad Zahid dalam sidang media selepas majlis ramah mesra bersama pengundi dan masyarakat tempatan Ulu Kenas, Kuala Kangsar hari ini.

Pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini diadakan berikutan nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, bulan lalu yang mengakibatkan penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad bersama lima yang lain terbunuh.

Namun bagi Nizar, ada sesuatu sebab tersirat mengenai mengapa pilihan raya kecil itu terpaksa diadakan.

Berucap pada sesi ceramah di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, malam tadi, Nizar berkata dirinya tertanya-tanya mengapa daripada 222 kerusi parlimen di negara ini, Allah memilih supaya PRK diadakan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Kenapa tidak pilih Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, kenapa pilih Kuala Kangsar, Bandar Diraja?

“Bila saya fikir-fikir dengan mendalam, di sinilah buminya semasa saya diberikan amanah untuk menjadi menteri besar Perak, daripada Mac 2008 hingga Februari 2009.

“Di sinilah buminya yang mana kedua-dua makhluk ini datang merampas kerajaan Pakatan yang saya pimpin ketika itu. Siapa makhluk itu? Tak lain tak bukan (Datuk Seri) Najib (Razak) dan (Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi).

Dengan berbuat demikian, Nizar berkata, Najib dan Zahid tidak menghormati hak rakyat Perak yang telah memilih kerajaan Pakatan Rakyat.

Justeru, Nizar yakin bahawa penduduk Kuala Kangsar akan mengajar dua pemimpin tertinggi negara itu.

Pada pilihanraya parlimen Kuala Kangsar, calon AMANAH, Dr Ahmad Termizi akan berdepan dengan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid yang mempertahankan kerusi suaminya.

Selain daripada Mastura, Termizi juga menghadapi saingan daripada calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pilihan raya kecil juga akan diadakan serentak pada 18 Jun ini di Sungai Besar kerana nahas yang sama meragut nyawa Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Noriah Kasnon.

Lihat Komen
ADS