Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin tak tunjuk komitmen di Sungai Besar, kata Khairy

Ketidakhadiran Datuk Seri Azmin Ali selepas hari penamaan calon pilihan raya kecil Sungai besar menunjukkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak mendapat restu daripada Menteri Besar Selangor itu, kata Khairy Jamaluddin.

Justeru, menteri belia dan sukan itu menyeru pengundi-pengundi Sungai Besar mengundi calon Barisan Nasional kerana Azmin tidak menunjukkan komitmennya dalam PRK di kawasan itu.

"Tuan-tuan ada nampak menteri besar Selangor ada di kawasan Sungai Besar selepas penamaan calon?

"Oleh kerana masalah yang berlaku dalam Pakatan Harapan hari ini di mana calon dan parti bertanding di sini tidak direstui oleh Menteri Besar sendiri.

"Menteri Besar tidak menunjukkan komitmen kepada kawasan Sungai Besar," kata Khairy ketika berucap di Majlis Penyampaian barangan sukan kepada Persatuan Belia di kawasan parlimen itu.

Sebaliknya, Khairy berkata perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri lain datang ke Sungai Besar menunjukkan komitmen mereka terhadap pilihan raya kecil ini.

"Saya lihat tiap-tiap hari ada seorang menteri datang, saya rasa timbalan perdana menteri hampir setiap hari di Sungai Besar.

"Maka pilihan satu saja kalau kita nak pilih calon yang menunjukkan komitmen dengan kehadiran menteri, kalau kita menang akan terus menyokong rakyat Sungai Besar," katanya.

Sementara itu Khairy secara sinis menjangka Azmin akan hadir di Sungai Besar selepas media melaporkannya kenyataannya.

"Saya rasa selepas media melaporkan ucapan saya hari ini, esok menteri besar Selangor akan datang," kata Khairy.

Khairy juga berkata undi kepada PAS tidak akan memberi keuntungan kepada pengundi di Sungai Besar kerana parti itu bukan lagi sebahagian kerajaan negeri mahupun HARAPAN.

Pilihan raya kecil Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan Parti Amanah Negara.

Calon Amanah Azhar Abdul Shukur mewakili HARAPAN manakala BN diwakili Budiman Mohd Zohdi dan PAS diwakili oleh Abdul Rani Osman.

Azmin sebelum ini tidak hadir ketika AMANAH mengumumkan calon mereka di Sungai Besar. 

Bagaimanapun, timbalan presiden PKR itu muncul pada hari penamaan calon dan mengumumkan jentera PKR akan membantu kempen HARAPAN di sana.

 

 

 

 

 

Lihat Komen
ADS