Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB nafi lima kali pecah tanah Jambatan Manong
Diterbitkan:  Jun 10, 2016 10:39 PM
Dikemaskini: 2:56 PM

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Kadir menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan BN beberapa kali mengecewakan pengundi Manong di Kuala Kangsar berikutan cadangan pembinaan Jambatan Manong.

Sebaliknya, tegas pengerusi BN Perak itu beliau telah menyemaknya beberapa kali namun ternyata tiada sebarang upacara pecah tanah bagi tujuan tersebut.

"Cerita permohonan Jambatan Manong ini (memang ) ada permohonan dan betul.

"Tapi cerita pecah tanah ini dah beberapa kali saya semak dengan ADUN Manong. Tak tahulah kalau-kalau orang yang lebih lama dari kami boleh ingat.

“Yang saya tahu pecah tanah tak ada,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama perdana menteri di Masjid Nurul Huda, Manong Kuala Kangsar Perak.

Pada majlis sama, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM43.5 juta untuk membina jambatan tersebut yang akan menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong.

Portal Malaysia Dateline semalam melaporkan kenyataan Pengerusi AMANAH Asmuni Ani bahawa kerajaan telah lima kali mengadakan majlis pecah tanah bagi pembinaan jambatan itu.

"Sudah lima kali pecah tanah sampai dah tak ada tanah nak dipecahkan," kata beliau dalam sidang media di pejabat AMANAH Kuala Kangsar.

Asmuni berkata, kerajaan perlu menyatakan tarikh yang tepat bila jambatan tersebut akan siap dibina dan tidak memberikan harapan palsu kepada rakyat.

Penduduk sebelum ini dilapor menggunakan bot penambang yang beroperasi setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 6 petang dengan kadar bayaran pergi balik sebanyak RM1 seorang dan RM2 sekiranya membawa motosikal.

Laluan darat untuk ke Pekan Manong adalah sejauh 45km.

Lihat Komen
ADS