Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Bagaimana Amerika jumpa bukti tapi Malaysia tak?
Diterbitkan:  Jul 21, 2016 12:24 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

PAS mempersoalkan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah menteri kewangan wajar berdiam diri berikutan pengumuman Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan undang-undang dengan merampas aset yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara itu.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga tertanya-tanya bagaimana DOJ berjaya menemui bukti salah laku oleh firma yang berpangkalan di Malaysia manakala pihak berkuasa negara ini gagal berbuat demikian.

“Apakah status siasatan Ketua Polis Negara terhadap 1MDB? Apakah Ketua Polis Negara akan bekerjasama dengan DOJ untuk mendapatkan bukti-bukti yang gagal diperolehi selama ini dalam penyiasatannya ke atas 1MDB?

“Bagaimana pula dengan Ketua Audit Negara? Apakah beliau kini dapat melengkapkan laporan auditnya yang kini di bawah OSA dengan maklumat-maklumat baru ini?

“Apa pula tindakan Peguam Negara dan SPRM selepas ini? Apakah masih tetap bahawa dengan pendirian yang ada?

“Bagaimana pula dengan Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim yang telah menutup kes terhadap 1MDB? Apakah dengan maklumat terkini, kes 1MDB akan dibuka semula?” soal
Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakyat sedang melihat sama ada institusi-institusi berkenaan bekerja untuk rakyat atau individu tertentu sahaja.

Tuan Ibrahim juga menasihatkan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy supaya memikirkan apa langkah terbaik seterusnya buat dirinya dan negara.

Sementara itu, katanya, PAS menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang terdiri daripada ulama yang pakar dalam ekonomi dan kewangan Islam ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1MDB.

Siasatan perlu memberi tumpuan kepada dua aspek, katanya.

Pertama, menurutnya adalah pengurusan pelaburan dan kewangan yang silap, iaitu strategi dan jangkaan pelaburan yang salah.

“Perkara ini dalam ekonomi konvensional adalah biasa, tetapi dalam ekonomi Islam ada hukum berbeza.

“Kedua, aspek penyelewengan seperti tuduhan DOJ yang gagal disiasat pihak berkuasa negara, melibatkan pengubahan dana haram iaitu perpindahan wang tanpa saluran yang betul dan pemilikan harta atas nama peribadi,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, kedua-dua perkara ini perlu disiasat oleh Suruhanjaya DiRaja untuk menyelesaikan kes ini yang sudah bertahun-tahun.

Lihat Komen
ADS