'Isu minyak sejak 2014, kenapa menteri tak tahu?'

   

PKR menolak penjelasan menteri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkaitan dakwaan manipulasi harga minyak untuk mengutip 'cukai senyap'.

Naib presidennya Rafizi Ramli berkata, jika menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) belum arif tentang bidang kuasa tugasnya serta perkara teknikal, beliau patut berundur.

“Jika Datuk Seri Hamzah Zainuddin masih belum arif mengenai bidang tugas beliau dan perkara-perkara teknikal seperti ini setelah lebih setahun menjawat jawatan menteri KPDNKK, beliau wajar meletak jawatan dan menyerahkan jawatan itu kepada seorang yang tahu mengenai perkara-perkara ini.

“Jika beliau tahu, maka beliau wajar menerbitkan jadual pengiraan harga bulanan mengikut formula sejak sistem apungan harga diperkenalkan agar rakyat boleh diyakinkan bahawa mereka tidak dicukai secara senyap,” katanya.

Semalam, Hamzah berkata harga petrol dan diesel berdasarkan purata bulanan dan harga yang diumumkan berdasarkan angka bulan lepas.

Beliau berkata tidak tahu berkaitan dakwaan cukai tersembunyi kerana kiraan berdasarkan purata sebulan. Katanya lagi, kerajaan tidak akan mendedahkan cara pengiraan tersebut.

Anggota Parlimen Larut juga berkata beliau tidak sedar menteri terdahulu Datuk Seri Hasan Malek menjanjikan kementerian itu akan mendedahkan mekanisme sistem apungan terurus bahan api.

Dalam kenyataan hari ini, Rafizi berkata, alasan tidak tahu mengenai kewujudan cukai senyap itu tidak boleh diterima memandangkan isu itu dibawa ke parlimen sejak 2014 dan pelbagai soalan telah diajukan.

Malah, Rafizi berkata, demonstrasi menggesa harga minyak diturunkan selari harga mentah global diadakan pada 31 Disember 2014.

Rafizi juga berkata beliau turut disaman kerana mengkritik tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang menghapuskan subsidi minyak.

Rafizi, berkata, mengikut mekanisme kiraan kerajaan, harga RON95 bagi Ogos 2016 sepatutnya dijual pada RM1.65 seliter; bukannya RM1.75 seliter.

Beliau menyifatkan lebihan 10sen tu sebagai cukai tersembunyi yang dikutip kerajaan.

Anggota parlimen Pandan sekali lagi menggesa kerajaan menerbitkan jadual pengiraan harga bulanan mengikut formula sejak sistem apungan harga diperkenalkan.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda