Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Doktor 'rawat' Najib, Rosmah letak jawatan dalam NGO antipenuaan
Diterbitkan:  Aug 16, 2016 1:22 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Doktor yang dikatakan pernah merawat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor selama bertahun-tahun meletak jawatan sebagai naib presiden sebuah organisasi antipenuaan.

Perkara itu didedahkan oleh Presiden Society For The Advancement of Hormones and Healthy Aging Medicine Malaysia (SAHAMM), Dr Selvam Rengasamy dalam satu kenyataan hari ini.

"Dr Sidiq (Mohamed) telah meletak jawatan sebagai naib presiden SAHAMM kerana dia tidak mahu SAHAMM diseret dalam perkara yang melibatkannya atas sifat peribadinya," kata Selvam dalam kenyataan itu.

Sidiq dinamakan dalam artikel Sarawak Report berdasarkan komunikasi e-mel antara laman web itu dan SAHAMM.

Ini berikutan dakwaan sebelum ini bahawa seorang individu berpangkat tinggi menggunakan RM1.15 juta daripada dana SRC International yang dialihkan untuk membeli hormon pertumbuhan antipenuaan.

Sidiq tidak memberi respon terhadap permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan komen.

Malaysiakini tidak boleh secara bebas mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh Sarawak Report.

Sementara itu, Selvam berkata SAHAMM tidak mengetahui pembayaran yang dibuat kepada Sidiq oleh mana-mana pelanggan beliau.

Beliau mengesahkan SAHAMM bukan sebuah klinik tetapi satu pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang memperkenalkan rawatan-rawatan antipenuaan.

Katanya, organisasi itu pada umumnya melibatkan diri dalam mengajar dan menyebarkan maklumat mengenai rawatan antipenuaan.

"Kami mendekati Sarawak Report untuk memberi penjelasan selepas kami dibanjiri dengan pertanyaan daripada pesakit dan rakan-rakan profesional di luar negara," katanya.

Selvam menulis surat terbuka kepada Sarawak Report selepas laman web itu menerbitkan artikel tersebut, mendakwa pembelian hormon pertumbuhan anti-penuaan berkenaan.

Beliau mendakwa artikel itu mencemarkan reputasinya dan juga SAHAMM.

"Saya menulis e-mel ini tanpa prasangka atau niat jahat. Saya tidak mempunyai apa-apa jawatan politik.

"Saya menulis untuk merayu kepada idea-idea kewartawanan tertinggi dan prinsip-prinsip yang anda dedahkan dalam Sarawak Report dan meminta anda membantu membetulkan beberapa ketidaktepatan berkenaan dengan cerita anda pada 3 Ogos.

"Saya amat sedih dan terkejut dengan artikel di atas yang telah mencemarkan reputasi dan juga SAHAMM," surat itu dipetik.

Selvam, yang juga pakar obstetrik yang diperakui dan pakar sakit puan dengan 32 tahun pengalaman menegaskan dalam suratnya bahawa beliau adalah seorang "doktor" dan tidak terlibat dalam mana-mana politik.

Beliau tidak merawat perdana menteri atau isterinya atau mana-mana ahli politik, katanya.

"Saya presiden SAHAMM dan Sidiq adalah naib presiden dan ini hanya hubungan profesional," katanya.

Sebelum ini, Najib mengakui RM42 juta wang SRC dimasukkan ke akaun peribadinya.

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku dan menjelaskan Najib tidak mengetahui dana SRC itu dipindahkan kepadanya.

Najib berulang kali menafikan menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan menuduh mereka yang terbabit dalam tuduhan itu berkonspirasi untuk menjatuhkannya.

 

Lihat Komen
ADS