Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dibuat seperti bola, Rafizi nak 'hasut' ke kem tentera
Diterbitkan:  Aug 16, 2016 6:00 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata beliau akan mula menjelajah ke kem-kem tentera sekiranya Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak menyelesaikan isu kelewatan bayaran pampasan pencen kepada pesara tentera.

Ini berikutan terdapat bekas anggota tentera yang berterusan membuat aduan mengenai kelewatan berkenaan di laman Facebook Jabatanarah Urusan Gaji Angkatan Tentera (Ugat).

"Saya membuat permohonan terbuka untuk berjumpa pengarah Ugat agar saya dapat mendengar sendiri masalah yang dihadapi Ugat sehingga menyebabkan kelewatan ini

"Saya juga mendesak Hishammuddin Hussein memberi kenyataan segera dan mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini dengan berjanji bahawa segala proses dan prosedur akan diperkemaskan secepat mungkin dan semua pesara yang belum menerima pampasan dibayar dalam tempoh seminggu.

"Jika ini tidak berlaku saya akan mula menjelajah ke kem-kem tentera di seluruh negara untuk “menghasut” angkatan tentera dan pesara tentera mengenai kegagalan Hishamuddin dan Umno menjaga kebajikan mereka," katanya.

Menurut komen yang ditinggalkan di laman Facebook Ugat, bekas anggota tentera diberitahu menyemak dengan agensi itu untuk menuntut bayaran mereka, namun ia tidak dapat dihubungi.

Sekiranya ada jawapan, mereka membuat janji-janji palsu, kata seorang bekas anggota tentera yang menunggu bayaran itu sejak 2015.

"Bila saya call Ugat, diorang tak angkat pun (telefon). Lepas tu bagi janji palsu.

"Kemudian call lagi sebab bila check duit tak masuk, diaorang abaikan. Bila pergi Mindef (Kementerian Pertahanan) diaorang cakap bulan lima ni (duit) masuk. Kenapa harus sekat duit saya. Saya berkhidmat lama, tak pernah langgar peraturan semasa saya berkhidmat.

"Saya ada anak bini. Sekarang kerja saya tak stabil, saya duduk rumah mentua saya. Kerja setakat menoreh, berapa sahaja (pendapatan) yang saya ada," tulisnya yang meminta kerjasama dari pihak berkenaan.

Posting itu ditulis tiga bulan lalu. Satu lagi posting dibuat tiga minggu lalu berkenaan perkara serupa.

Menurut Rafizi, pesara tentera tidak ubah diperlakukan seperti bola dan apabila beliau menimbulkan isu itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menafikan kelewatan bayaran berkenaan.

"Apabila pesara menghubungi Ugat untuk mendapat jawapan, mereka menghadapi kesukaran untuk berhubung kerana telefon tidak diangkat.

"Jika pun mereka hadir sendiri ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan pegawai Ugat, kosnya terlalu mahal dan menambahkan beban mereka sedangkan pampasan pencen itu adalah wang mereka yang mereka carum selama ini.

"Akhirnya pesara tentera tidak ubah diperlakukan seperti bola apabila disepak dari LTAT ke UGAT balik ke LTAT dan berpusing ke UGAT," ujarnya.

LTAT sebelum ini mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi kerana mendakwa lembaga itu lewat membayar gratuiti kepada pesara tentera.

Lihat Komen
ADS