Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jenazah 'Tuhan Harun' dikebumikan di Raub
Diterbitkan:  Aug 17, 2016 5:51 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Jenazah ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun' atau nama sebenarnya Harun Mat Saat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Talam, Raub hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata jenazah Harun, 50, dikebumikan pada 12 tengah hari tadi.

"Jenazahnya, yang tiba kira-kira 5.30 pagi tadi dari Kuantan, kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Batu Talam pada 11 pagi ini. Sanak saudara serta kenalannya menghadiri pengebumian itu," katanya kepada Bernama, hari ini.

Semalam, Harun dilaporkan meninggal dunia pada 4.40 petang di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, selepas mengalami masalah pernafasan.

Harun dan lima lagi pengikutnya sedang menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan berkonspirasi membunuh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiga tahun lepas.

Harun dan isteri ketiganya Azida Mohd Zol, 33, pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40, dan tiga pengikut dituduh melakukan konspirasi jenayah dengan bersetuju membunuh Ahmad Raffli Abd Malek.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di No 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini pada 1.50 petang, 10 Nov 2013.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 dan 120B (1) Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS