Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim saran PM buat teka teki MO1
Diterbitkan:  Aug 22, 2016 3:58 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disaran supaya 'bermain teka-teki' mengenai identiti sebenar Malaysia Official 1 (MO1) bagi mengelak kekeliruan seperti terjadi ke atas Anggota Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Najib boleh memberi beberapa bayangan serta sifat MO1 bagi memudahkan orang ramai meneka identiti sebenar di sebalik istilah berkenaan.

“Untuk mengelakkan kekeliruan berpanjangan di kalangan Umno-BN dan tercetusnya mangsa kedua yang dikaitkan dengan MO1, Datuk Seri Najib selaku Pengerusi Umno dan BN perlu memberitahu siapa MO1 sebenar.

“Jika tidak dapat dinamakan, bolehlah membuat teka-teki dengan memberi bayangan: Rambut putihnya, bentuk rupanya, siapa isterinya dan juga hubungannya dengan Riza Aziz dan kedudukannya di 1MDB,” sindir Tuan Ibrahim dalam kenyataan dikeluarkan beliau hari ini.

Disebabkan tiada pengesahan identiti orang dikenali sebagai MO1 dalam saman sivil Jabatan Kehakiman AS beberapa tekaan dibuat.

Nawawi baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan MO1 itu adalah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau bagaimanapun memohon maaf hari ini.

Saman DOJ itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa AS menyita aset bernilai kira-kira AS$1.5 bilion yang didakwa diperoleh melalui dana 1MDB.

Antara aset yang dimaksudkan ialah rumah mewah, lukisan, jet peribadi dan kutipan filem Hollywood The Wolf of Wall Street.

Bersihkan nama Agong

Selain jutawan kontroversi Jho Low turut dinamakan dalam dokumen itu ialah anak tiri Najib, Riza Aziz, yang turut menerbitkan filem berkenaan.

Dalam laporan DOJ itu turut menyebut nama MO1 lebih daripada 30 kali.

Kata Tuan Ibrahim tindakan Najib diperlukan bagi mengelak insiden mengaitkan MO1 dengan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah tidak berulang.

Katanya, sekiranya identiti MO1 tersebut didedahkan, pasti tidak ada anggota parlimen Umno atau BN boleh mengaitkan Agong.

Tuan Ibrahim turut memberi cadangan supaya Najib meminta maaf bagi pihak Nawawi kerana mengaitkan Agong dalam hal berkenaan.

“Saya pasti kalau Nawawi diberi maklumat yang betul, beliau tidak akan tersilap meneka siapa sebenarnya MO1, dan BN tidak akan dimalukan lagi dengan tekaan yang jelas jauh tersasar,” katanya.

Tuan Ibrahim juga berkata, ketelanjuran Nawawi itu adalah bukti mengapa Majlis Raja-Raja disaran menyiasat 1MDB dan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau turut mengulangi gesaan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja yang terdiri daripada ulama yang pakar dalam ekonomi dan kewangan Islam supaya ditubuhkan segera.

Ia bertujuan untuk menyiasat skandal 1MDB sebagai usaha menyelesaikan isu 1MDB dan juga membersihkan nama Agong.

Lihat Komen
ADS